KUCHING, 17 Sept: Sebanyak 25 bas Rapid Bus Sdn Bhd (Rapid Bus) mesra Orang Kurang Upaya (OKU) yang tiba di Sarawak sedia untuk digunakan pada temasya Sukan Para Malaysia (Para SUKMA) 2024.
Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak Dato Sri Fatimah Abdullah berkata, syarikat pengangkutan bas itu turut menghantar 44 petugas bermula 13 September lepas.
Kata beliau ini bagi membolehkan mereka membiasakan diri dengan laluan ke venue pertandingan di sekitar Kuching.
“Penyediaan bas ini selaras dengan komitmen kita untuk menyediakan pengangkutan yang inklusif dan selamat bagi semua atlet bertanding,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Turut hadir dua timbalannya, Datuk Rosey Yunus dan Datuk Muhammad Razi Sitam.
Sementara itu Fatimah berkata, perkhidmatan bas itu yang mesra golongan OKU merupakan faktor utama pemilihannya sebagai pengangkutan Para SUKMA Sarawak.
Katanya, bas-bas tersebut mempunyai ruang luas bagi memudahkan pergerakan atlet-atlet Para SUKMA yang berkerusi roda.

Para SUKMA di Sarawak dijadualkan bermula pada 20 hingga 28 September 2024.
Kontinjen Sarawak membariskan seramai 213 atlet (143 lelaki dan 70 wanita) akan menyertai kesemua 10 sukan yang dipertandingkan antaranya olahraga, renang, badminton, ping pong, boling tenpin dan boccia. -TVS.