NIBONG TEBAL, 17 Sept: Ibu bapa dan penjaga diminta memantau anak-anak supaya tidak bermain air semasa banjir bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, peringatan itu diberikan ekoran keadaan cuaca tidak menentu dan banjir yang sedang melanda di beberapa kawasan semasa musim cuti persekolahan ketika ini.
“Paling penting adalah untuk memastikan keselamatan (ketika banjir) dan ini kebetulan cuti sekolah.
“Kita sedaya upaya sedang mengatasi krisis ini (banjir) dengan semua kerahan yang digerakkan oleh semua agensi dan kita minta semua pihak bersiap siaga dalam semua keadaan,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau berkata demikian selepas meninjau situasi banjir yang melanda Kampung Sungai Kechil di sini.
Kira-kira 200 buah rumah dan premis perniagaan dilaporkan terjejas akibat banjir di kawasan Parlimen Nibong Tebal.
Sementara itu, setakat pukul 5 petang tadi, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Pulau Pinang merekodkan tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) yang dibuka di seluruh negeri membabitkan 38 keluarga dan 60 mangsa di daerah Seberang Perai Tengah, Seberang Perai Selatan dan Seberang Perai Utara. -TVS.