GEORGE TOWN, 17 Sept: Hampir 200 aduan berhubung kejadian pokok tumbang dilaporkan di negeri ini dalam tempoh tiga hari sejak kelmarin ekoran kejadian angin kencang dan hujan lebat.
Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata, 90 daripada aduan itu diterima kelmarin, manakala sembilan aduan dicatatkan semalam dan 73 aduan direkodkan setakat pukul 12 tengah hari, hari ini.
“Kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT) iaitu Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) telah menjalankan kerja mengalihkan pokok selepas aduan diterima.
“Ia juga ada melibatkan rumah di tiga lokasi dan lapan buah kereta di enam lokasi, manakala proses membersihkan tapak masih berjalan di lokasi-lokasi berkenaan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Tambah Kon Yeow, pihaknya mengambil maklum amaran Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berhubung ramalan cuaca ribut dan hujan lebat dalam tempoh beberapa hari kebelakangan ini sehingga esok.
Katanya, negeri ini turut mencatatkan taburan hujan sebanyak 110 milimeter (mm) pada hari ini sehingga menyebabkan banjir kilat di 71 lokasi di Seberang Perai iaitu 43 kawasan di daerah Seberang Perai Tengah dan 28 tempat di Seberang Perai Selatan. -TVS.