KUCHING, 17 Sept: Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Kuching ingin menjadikan projek Makmal Pembiakan In Vitro Orkid Jumaani (JIVOM) dan Taman Botani Orkid Minu (MOBG) sebagai model replika untuk diperkembang ke sekolah-sekolah menengah di seluruh Sarawak.
Maktab itu memaklumkan, model replika itu nanti mampu menggalakkan pemuliharaan orkid ekonomi mampan.
“Makmal dan taman orkid itu ketika ini menempatkan kira-kira 82 orkid yang telah diselamatkan, dengan 98 peratus daripadanya adalah epifit.
“Makmal pembiakan orkid in vitro pertama yang ditubuhkan di sekolah menengah di Asia dan Taman Botani Orkid unik sekolah ini, dibangunkan untuk meniru habitat semula jadi adalah usaha perintis yang boleh menjadi yang pertama seumpamanya di peringkat global,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, dua pelajarnya iaitu Gwen dan Ian berkesempatan untuk berkongsi perkembangan projek tersebut kepada dua tenaga pengajar Universiti Amsterdam, Profesor Hans Akkermans dan Dr Anna Bon yang mengadakan lawatan ke MRSM Kuching pada Isnin.

Lawatan itu turut disertai oleh Pengetua, Timbalan Pengetua, Persatuan Orkid Sarawak (SARORSO) dan tujuh ahli JIVOM untuk mempamerkan usaha pelajar dan penglibatan komuniti dalam pemuliharaan orkid.
“Lawatan ini juga menekankan kepentingan kerjasama antara disiplin dan rentas budaya dalam mencapai matlamat perkongsian penglibatan komuniti, kemampanan dan pemuliharaan ekonomi,” menurut kenyataan. -TVS