KAPIT, 17 Sept: Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menyeru golongan wanita di Sarawak untuk melakukan ujian saringan human papillomaviruses (HPV) DNA bagi mengesan dan mencegah kanser servik lebih awal.
Ketua Klinikal LPPKN Sarawak, Dr Alina Ali berkata majoriti wanita di sini sedar mengenai jangkitan HPV namun tidak memahami lebih lanjut keperluan untuk membuat ujian.
“Di Sarawak, kesedaran sangat bagus terutamanya dalam kalangan komuniti Cina sebab kalau boleh setiap tahun mereka mahu buat saringan.
“Namun apabila saya pergi kepada komuniti Melayu misalnya, mereka kebanyakan mengatakan tidak bersedia dan takut untuk melakukannya.
“Ada juga yang lebih rela tidak mahu tahu tahap kesihatan mereka, jadi kita perlu ajar mereka bagaimana untuk menyayangi diri mereka,” katanya kepada TVS semasa Program Kasih Keluarga Ceria di Dewan Masyarakat Melayu, Kapit di sini hari ini.
Katanya, tahun ini LPPKN dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak menyasarkan 30,000 wanita di sini menjalankan ujian berkenaan.
“Kalau tidak silap saya sehingga pertengahan bulan ini, kita hanya dapat laksanakan sehingga 12,000 ke 13,000 orang,”ujarnya.
Beliau mengakui, keadaan geografi Sarawak yang luas telah memberi cabaran dalam melaksanakan program kesedaran pemberian ujian HPV DNA di sini.
Katanya, ujian HPV DNA merupakan saringan kanser serviks seperti yang diwar-warkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan tidak memerlukan doktor atau pegawai kesihatan untuk melakukannya.
KPWKM akan mengadakan Program Saringan Kanser Serviks (Ujian HPV DNA) di setiap daerah sepanjang Kembara KASIH KPWKM 2024.
Sejak 2019 sehingga 20 Ogos 2024, seramai 139,293 wanita di seluruh negara telah menerima manfaat daripada program ini.
Di Sarawak, seramai 31,728 wanita telah menjalani Ujian HPV DNA dan daripada jumlah tersebut seramai 2,132 kes positif HPV telah dikesan.
Sebanyak 46 kes telah disahkan prakanser dan lima kes adalah kanser serviks. – TVS.