TOKYO, 17 Sept: Bilangan penduduk Jepun berumur 100 tahun ke atas mencecah rekod tertinggi iaitu lebih 95,000 orang dengan hampir 90 peratus daripadanya merupakan wanita.
Ini berdasarkan data kerajaan yang dikeluarkan pada Selasa.
Angka itu menunjukkan krisis demografi yang mencengkam ekonomi keempat terbesar dunia itu apabila penduduknya semakin tua dan berkurangan.
Setakat 1 September, Jepun mempunyai 95,119 penduduk yang berusia 100 tahun ke atas, dengan 83,958 daripadanya wanita dan 11,161 lelaki, kata Kementerian Kesihatan.
Pada Ahad, data kerajaan yang berasingan menunjukkan bahawa bilangan penduduk berusia lebih 65 tahun telah mencapai rekod tertinggi 36.25 juta iaitu 29.3 peratus daripada keseluruhan penduduk Jepun.
Kadar itu meletakkan Jepun sebagai negara teratas daripada 200 negara dan wilayah dengan populasi lebih 100,000 orang, kata Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri dan Komunikasi.
Jepun kini menjadi rumah kepada manusia tertua di dunia iaitu Tomiko Itooka, yang dilahirkan pada 23 Mei 1908 dan berusia 116 tahun.
Pemegang rekod sebelum ini Maria Branyas Morera meninggal dunia bulan lalu di Sepanyol pada usia 117 tahun.
Wanita warga emas itu tinggal di rumah penjagaan di Ashiya, wilayah Hyogo di barat Jepun.
Dia sering berkata “terima kasih” kepada kakitangan rumah jagaan dan menyatakan nostalgia tentang kampung halamannya.
“Saya tidak tahu sama sekali tentang rahsia umur panjang saya,” kata lelaki tertua Jepun, Kiyotaka Mizuno, yang berusia 110 tahun, kepada media tempatan.
Mizuno, yang tinggal di Iwata, wilayah Shizuoka di tengah Jepun bersama keluarganya, bangun pada pukul 6:30 pagi setiap pagi dan makan tiga kali sehari tanpa memilih makanannya.
Hobinya ialah menonton sukan secara langsung termasuk gusti sumo. -TVS.