MUKAH, 17 Sept: Kerajaan Sarawak melaksanakan dasar muraqabah sebagai dasar pemerintahan wilayah ini, mencontohi kepimpinan Nabi Muhammad SAW yang merangkumi kehidupan seharian dan tanggungjawab dalam menjalankan amanah.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, adalah menjadi tanggungjawab semua untuk menjalankan amanah yang diberikan dan meningkatkan lagi kualiti untuk masa hadapan.
“Sebab itu bukan sahaja tekanan corak hidup, tetapi kita harus menjaga alam sekitar. Dari sudut muraqabah, kita harus mengambil kira semua aspek dalam kehidupan kita,” katanya ketika berucap di Majlis Perhimpunan dan Perarakan Maulidur Rasul Sempena Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Sarawak di sini, hari ini.
Turut menghadiri majlis itu ialah Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri, Toh Puan Fauziah Mohamad Sanusi.
Ujarnya, dasar pemerintahan di Sarawak, menyemarakkan tanggungjawab untuk mengekalkan keharmonian hidup sesama rakyat, malah Kerajaan Sarawak memberikan tumpuan menjaga alam sekitar sambil membangunkan negeri ke tahap lebih baik.
“Hari ini dunia menghadapi masalah besar seperti antaranya perubahan iklim dan keterjaminan makanan, maka dasar Kerajaan Sarawak amat bersesuaian dengan kehendak pemimpin umat Islam juga dalam semua aspek kehidupan,” katanya lagi.
Abang Johari mengucapkan terima kasih kepada rakyat Sarawak yang berjaya menjaga perpaduan di kalangan masyarakat pelbagai kaum dengan baik. – TVS