SARIKEI, 17 Sept: Penduduk di Jalan Sungai Baji di sini dikejutkan dengan kemunculan seekor buaya sepanjang 3.9 meter, kira – kira pukul 4.40 petang tadi.
Pegawai Pertahanan Awam Daerah Sarikei, Lt. (PA) Sahrol Azizi Zaidi berkata, sejurus menerima panggilan kecemasan, sepasukan anggota telah dihantar ke lokasi.
Katanya, seorang penduduk yang juga pengadu mendakwa ternampak kelibat seekor buaya di dalam sungai yang sering menjadi tempatnya mencari rezeki.
“Dia yang bmbang dengan keselamatan telah menghubungi pusat kawalan operasi daerah (PKOD) Sarikei untuk meminta bantuan kecemasan,” katanya menerusi kenyataan media.
Sahrol berkata, berikutan itu pasukannya bergerak ke lokasi berkenaan untuk melakukan pemantauan dan penangkapan.
Bagaimanapun katanya sebaik sahaja tiba di lokasi itu, anggotanya mendapati reptilia itu sudah mati ditembak oleh penduduk kampung.
“Sebagai tindakan susulan, kita membawa bangkai haiwan itu ke PKOD Sarikei sebagai tindakan lanjut,” ujarnya. – TVS