Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Helmi Chik melakukan demonstrasi penghasilan batik linut kepada pengunjung di Karnival Pembangunan Komuniti Perhutanan 2024 Jabatan Hutan Sarawak, hari ini. Foto Regina Lee

Karnival NTFP tingkatkan jaringan pasaran dan padanan perniagaan hasil hutan

ByRegina Lee

KUCHING, 17 Sept: Karnival Pembangunan Komuniti Perhutanan 2024  anjuran Jabatan Hutan Sarawak yang mengetengahkan dan mempromosi produk hasil hutan bukan kayu (NTFP) dilihat mampu tingkatkan padanan perniagaan dan jaringan pasaran antara pengusaha komuniti hutan dan industri berkenaan.

Penolong Pengarah Hutan yang juga Ketua Bahagian Perhutanan Sosial Suliman Jamahari berkata, penganjuran karnival yang memasuki siri ketujuhnya itu menyaksikan peningkatan hasil jualan dan jaringan kerjasama antara komuniti itu dari tahun ke tahun.

“Setelah karnival berakhir masih ada pembeli yang mencari dan menghubungi pengusaha komuniti produk keluaran NTFP, jadi ini satu petanda yang positif.

“Mereka bukan sahaja dapat menjana pendapatan dari karnival, malah selepas ini (diyakini) dapat meraih banyak jualan melalui pendedahan yang telah diberikan,” katanya kepada TVS di Karnival Pembangunan Komuniti Perhutanan 2024 Jabatan Hutan Sarawak, hari ini.

Suliman memaklumkan, selain daripada pameran dan jualan produk NTFP, karnival tersebut turut melakukan demonstrasi seperti pembuatan batik linut untuk meningkatkan pemahaman dan menarik minat pembeli untuk mengetahui industri berkenaan dengan lebih lanjut.

Sementara itu pereka kraf tangan batik yang menyertai karnival itu Helmi Chik mendedahkan, pihaknya turut melakukan sesi bengkel kepada mereka yang berminat untuk mempelajari proses penghasilan batik linut.

Pengurus jenama Helmi Batik Craft berkata, mereka juga berhasrat untuk membantu mengembangkan industri tersebut dengan lebih besar.

 

Hasil proses mewarna batik linut yang kemudiannya akan dicuci dan dikeringkan.

“Saya sebagai pengusaha batik telah bekerjasama melakukan penyelidikan dan pembangunan (R&D) bersama Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia untuk mengadaptasikan cara pembuatan batik konvensional ke batik linut, potensinya memang jauh ke depan dan mempunyai kepelbagaian.

“Hasil kajian kami mendapati pelbagai teknik dapat dibuat menggunakan linut, pelbagai motif etnik daripada setiap kaum di Sarawak ini dapat digunakan sebagai corak baharu di batik linut,” katanya ketika ditemui TVS selepas melakukan demonstrasi batik linut di sini, hari ini.

Untuk rekod, batik linut merupakan produk hasil cetusan idea dan inovasi Kraftangan Malaysia yang diperkenalkan awal tahun 2019 untuk menyuntik keunikan dan kelainan bagi memartabatkan lagi eksklusif batik tempatan.

Karnival Pembangunan Komuniti Perhutanan 2024 anjuran Jabatan Hutan Sarawak berlangsung dari 14 hingga 22 September ini di Plaza Merdeka Kuching. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan