KUCHING, 17 Sept: Masyarakat di negara ini tidak perlu bimbang kerana jangkitan cacar monyet atau mpox varian clade II tidak seteruk varian clade I yang mempunyai kadar kematian yang lebih tinggi.
Namun Pakar Perubatan Kesihatan Awam Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), Dr. Helmy Hazmi berkata, masyarakat dinasihatkan supaya tidak mengambil mudah dan sentiasa cakna dengan langkah pencegahan seperti menjaga kebersihan diri serta terus mendapatkan khidmat perubatan sekiranya mengalami gejala.
“Jika mempunyai tanda-tanda mpox seperti lepuh, ruam atau demam, segeralah berjumpa dengan doktor dan elakkan bersentuhan dengan mereka yang dijangkiti mpox terutamanya kenalan rapat seperti ahli keluarga kepada pesakit-pesakit yang berkemungkinan dijangkiti penyakit terbabit.
“Semua kenalan rapat dan ahli keluarga perlu memberi kerjasama dan maklumat yang tepat, jujur serta sahih sekiranya dipanggil oleh pegawai kesihatan dalam siasatan melibatkan penyakit mpox tersebut,” katanya ketika dihubungi TVS, hari ini.
Jelas Dr. Helmy, maklumat-maklumat berkenaan amat penting untuk mengurangkan dan menghentikan penularan mpox dalam kalangan masyarakat di negara ini.
Terdahulu, Bilik Gerakan Mpox telah diaktifkan susulan satu kes positif mpox varian clade II yang dikesan melibatkan seorang lelaki warga tempatan, semalam.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan dalam kenyataan hari ini memaklumkan, kes tersebut dikesan daripada 58 kes disyaki mpox yang dirujuk kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – TVS