MIRI, 17 Sept: Pasukan I-Roboreg dari Institut Pengajian Guru Kampus Sarawak (IPGKS) Miri sekali lagi bakal mewakili Malaysia ke Kejohanan Robotik Dunia Terbuka Antarabangsa 2024 di Brescia, Itali.
Ketua Jabatan Perancangan, Penyelidikan dan Inovasi IPGKS Miri, Dr Norsarihan Ahmad berkata kejohanan tersebut akan melatih para siswa dalam aspek pembangunan Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM).
Jelas beliau I-Roboreg akan menyertai kategori robomission pada pertandingan itu yang berlangsung pada 25 hingga 28 September ini.
“Pengalaman dan latihan perguruan yang diperoleh perserta ketika pertandingan tersebut seterusnya akan dapat diaplikasikan ke dalam pembelajaran pelajar di peringkat sekolah rendah kelak.
“Contohnya, siswa guru kita dilatih dalam aspek pengekodan robotik, matematik dan sains dan mereka ini bakal menjadi guru di sekolah rendah seterusnya akan menggunakan kepakaran dan kemahiran STEM ini dalam aspek pengajaran nanti apabila menjadi guru,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Berhubung persiapan, Norsarihan memaklumkan pihaknya telah mengenal pasti siswa-siswi yang berpotensi dan mengadakan latihan intensif sejak November tahun lepas untuk memastikan pasukan mahir tentang aspek teknikal robotik.
“Mereka juga turut menjalin kerjasama pintar dengan Kementerian Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Sarawak, Sarawak Oil Palm Foundation dan Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) untuk kejohanan tersebut,” katanya.
Tahun ini merupakan penyertaan keempat IPGKS Miri dalam pada kejohanan itu selepas menyertainya pada 2022 di Jerman dan Denmark serta Panama pada tahun lalu. -TVS.