KUCHING, 16 Sept: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) boleh dianggap sebagai tulang belakang kepada kemajuan Sarawak dalam tempoh 51 tahun parti itu memegang tampuk kepimpinan wilayah ini.
Sebagai parti politik terbesar di Sarawak, PBB terus berperanan memacu agenda pembangunan ke tahap lebih dan jelas demi kesejahteraan serta kemakmuran rakyat.
Naib presidennya, Datuk Dr. Abdul Rahman Junaidi berkata, anjakan besar dilaksanakan PBB terutama membawa Sarawak sebagai peneraju ekonomi serantau.
“PBB mempunyai matlamat yang memfokuskan kepada pembangunan dan usaha yang memberi manfaat kepada rakyat Sarawak.
“Parti ini berperanan membangunkan Sarawak dari selatan hingga utara, sebab itu kita melihat inisiatif yang diperkenalkan melibatkan pembangunan fizikal dilaksanakan di seluruh Sarawak,” katanya kepada TVS.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Utiliti) berkata, pembangunan yang dilaksanakan bukan sahaja melibatkan kemudahan asas seperti jalan raya dan jambatan tetapi turut mencakupi bekalan air, elektrik serta liputan telekomunikasi.
Malah menurutnya, pembangunan yang dirancang turut melibatkan aspek kemampanan alam sekitar, pendidikan, kesihatan dan transformasi digital.
“PBB sentiasa berpegang kepada prinsip asas autonomi negeri dan menekankan aspek perpaduan serta kemakmuran yang boleh dikongsikan bersama.
“Pada masa sama PBB memastikan pembangunan ekonomi dapat dicapai dengan keadaan politik yang stabil,” ujarnya.
Dr. Abdul Rahman menjelaskan, ditubuhkan sejak 1973, PBB kekal relevan dan terus mendapat sokongan rakyat Sarawak sehingga kini.
“Kita menitikberatkan keterangkuman dalam pentadbiran dan pembangunan bersesuaian dengan demografi rakyat wilayah ini.
“Pada masa sama PBB terbuka kepada penyertaan setiap suku kaum Bumiputera. Ini penting untuk membawa masyarakat pelbagai kaum dalam pembangunan ekonomi,” jelasnya.
Menurutnya, sudah pasti PBB berhasrat untuk terus menjadi parti politik signifikan kepada usaha menjadikan Sarawak negeri maju menjelang 2030.-TVS