KUCHING: Perjanjian 18 Perkara yang disenaraikan merupakan syarat untuk Sarawak membentuk gagasan Malausia bersama Persekutuan Tanah Melayu, Borneo Utara dan Singapura pada 16 September 1963.
Menurut sejarawan Sarawak Dr Loji Saibi, perjanjian tersebut harus dihormati semua pihak kerana secara perundangannya disenaraikan dalam Perlembagaan Malaysia oleh Jawatankuasa Antara Kerajaan (IGC).
“Kalau dilihat dari segi perundangan, ini dipanggil sebagai prasyarat perlembagaan atau syarat sebelum perlembagaan, jadi adalah baik kita kekalkan 18 perkara ini sebagai rujukan.
“Semua perkara kita perlu hormati seperti laporan Suruhanjaya Cobbold, IGC, Perlembagaan dan Perjanjian Malaysia 1963.
“Ia adalah tonggak perjuangan kita di wilayah Sarawak dan Sabah, kita mesti pertahankan,” katanya kepada TVS.
Menurutnya, memorandum tersebut mewakili hak dan keistimewaan yang dimahukan rakyat Sarawak selain kepercayaan diberikan dalam pembentukan Malaysia.
“Dalam Memorandum 18 Perkara, didapati masyarakat Bumiputera di Sarawak memang bersetuju dengan gagasan Malaysia. Mereka terdiri daripada Dayak, Melanau dan Melayu yang memberikan sokongan padu kepada 18 Peraka.
“Kita lihat faktor pembentukan ini, kepentingan peribumi bukan sahaja dijaga malah diambil kira sepenuhnya, itu satu perkara penting,” ujarnya.
Antara perkara yang disenaraikan dalam memorandum tersebut termasuk agama, bahasa, kuasa imigresen, tarif dan kewangan, pendidikan dan kesihatan, perwakilan di Parlimen serta hal ehwal tanah, hutan dan kerajaan tempatan.-TVS