LIMBANG,16 Sept: Rakyat Sarawak perlu terus bersatu hati untuk memastikan wilayah ini terus mencapai kejayaan, kata Timbalan Menteri Industri Makanan, Komuniti dan Pembangunan Wilayah Datuk Dr Abdul Rahman Ismail.
Beliau berkata, ia sekali gus membantu merealisasikan hasrat Sarawak menjadi wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
Menurutnya, bersempena Hari Malaysia, setiap lapisan masyarakat hendaklah mempertahankan semangat kebersamaan, perpaduan, toleransi dan keharmonian.
“Kita perlu berazam dan bersatu hati merealisasikan visi Sarawak sebagai wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030.
“Marilah kita berdiri teguh di belakang kepimpinan kerajaan dan menyokong segala usaha pembangunan yang dirancang untuk masa depan lebih terjamin,” katanya berucap pada sambutan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Limbang hari ini.
Dr Abdul Rahman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kota menjelaskan, pelbagai kejayaan dilakar Sarawak sehingga mendapat pengiktirafan dunia terutama dalam tenaga hijau.
“Pencapaian ini sebenarnya memacu pembangunan dan meningkatkan pendapatan Sarawak selain membawa kemakmuran,” ujarnya.
Menurutnya, Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 (PCDS 2030) memastikan Sarawak menjadi wilayah maju dan berpendapatan tinggi menjelang 2030 menerusi inovasi serta data.
Sementara itu, lebih 3,000 umat Islam melibatkan 49 kontinjen menyertai perarakan Maulidur Rasul Peringkat Daerah Limbang.-TVS