IPOH, 16 Sept: Seorang pesara pegawai bank di Taiping berputih mata apabila wang miliknya lebih RM1.4 juta lesap dipercayai selepas ditipu sindiket phone scam yang menyamar pegawai polis semalam.
Mangsa wanita berusia 65 tahun dikatakan mula terjerat selepas menerima panggilan telefon daripada wanita yang memperkenalkan dirinya sebagai pegawai Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) semasa berada di rumah kira-kira pukul 5.14 petang pada 11 Ogos lalu.
Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, suspek telah memberitahu mangsa bahawa kad bank miliknya didapati terlibat dalam kegiatan pengubahan wang haram.
Katanya, panggilan itu kemudiannya disambungkan kepada suspek kedua iaitu lelaki yang memperkenalkan dirinya sebagai Sarjan Rabbani yang menggunakan nombor telefon sama untuk menyelesaikan kes tersebut yang kononnya dalam siasatan polis.
“Rentetan itu, mangsa dihubungi oleh beberapa individu lain yang mengaku dirinya pegawai polis dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Terengganu.
“Suspek ketiga memperkenalkan dirinya sebagai Asisten Superintendan (ASP) Riduan dan suspek keempat sebagai ASP Zaki,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau, mangsa kemudiannya diarahkan membuka akaun baharu di tiga bank lain bagi tujuan pindahan wang mangsa ke dalam akaun bank mangsa sendiri.
“Dia diarahkan meninggalkan kad mesin pengeluaran wang automatik (ATM) ketiga-tiga bank itu yang diletakkan di dalam sampul surat di atas rumput pada alamat yang diarahkan suspek.
“Ia supaya pihak mereka (suspek) dapat mengeluarkan wang dari akaun mangsa untuk siasatan dan berjanji mengembalikan wang itu selepas selesai siasatan,” katanya lagi.
Ujar beliau, mangsa kemudiannya menerima mesej pengeluaran wang dalam tempoh 23 Ogos hingga 11 September lalu daripada pihak bank sebelum pergi membuat semakan.
“Semakan melalui penyata ketiga-tiga bank tersebut, dia mendapati kerugian wang sebanyak RM1,440,969.83 yang telah dikeluarkan.
“Wanita itu telah mengesyaki dia ditipu sebelum tampil membuat laporan polis kira-kira pukul 2.53 petang semalam,” katanya lagi.
Ujar Azizi, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – TVS