Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Dato Hanifah Hajar Taib menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang Larian Amal Half Marathon PERKIM 2024 di Kuching pada Ahad. Foto TVS

Semua pihak terlibat pastikan SDG tercapai

KUCHING, 15 Sept: Kerajaan Pusat akan memastikan kerajaan negeri, agensi kerajaan dan swasta seluruh negara terlibat dalam memastikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 2030 yang hanya tinggal enam tahun dari sekarang tercapai.

Timbalan Menteri Ekonomi Datuk Hanifah Hajar Taib berkata, pusat SDG negara sedia ada menjalankan beberapa inisiatif dan merangka pendekatan baharu bagi meningkatkan tindakan penyelarasan SDG di peringkat kebangsaan.

Menurutnya, ia secara tidak langsung menambah baik pencapaian SDG negara dan meningkatkan kesedaran dalam pelaksanaan dan penerimagunaan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Kita akan berbincang bersama dan bertukar maklum balas dengan pelbagai pihak termasuk kerajaan, badan korporat serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mengenai input SDG.

“Ini kerana jalan penyelesaian akan mempunyai keputusan berbeza dan ini dipengaruhi pelbagai faktor termasuk lokasi serta perbandingan kekurangan atau kelebihan yang ada selain perlu dibezakan dengan keperluan indikator SDG negara lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Larian Amal Half Marathon PERKIM 2024 di sini, hari ini.

Hanifah yang juga Ahli Parlimen Mukah menjelaskan, pihaknya sentiasa bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi lain di negara ini menerusi kaedah soal selidik bagi pengumpulan data.

“Kita juga mempunyai cara memperoleh data SDG menerusi ulasan tempatan secara sukarela. Menerusi kaedah ini, kami akan mendapat ulasan dan maklum balas diperlukan untuk menambah baik inisiatif SDG.

“Pada masa sama, kami akan memberikan input sewajarnya dalam perkara melibatkan SDG,” ujarnya.

Persidangan SDG 2024 bakal berlangsung 17 hingga 18 September di Kuala Lumpur.

Sementara itu, Hanifah menyifatkan Larian Amal Half Marathon PERKIM 2024 anjuran Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) Cawangan Sarawak sebagai salah satu komponen SDG.

“Larian ini boleh dikaitkan dengan SDG 11 iaitu kelestarian kehidupan dan gaya hidup sihat,” jelasnya.

Larian yang bermula seawal jam 4 pagi itu disertai lebih 1,500 peserta tempatan dan luar negara.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Dato Sri Nancy Shukri, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Hubungan Negeri – Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali, Pengerusi Penganjur Larian Amal Half Marathon PERKIM 2024 Datin Azerina Mohd Arip dan Ahli Majlis PERKIM Kebangsaan Datuk Seri Rohani Abdul Karim.-TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan