KOTA KINABALU, 15 Sept: Program Liga Sukan Uniti anjuran Kementerian Perpaduan Negara (KPN) dengan kerjasama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) dapat menyemai semangat perpaduan melalui sukan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, inisiatif itu bertepatan sebagai platform untuk menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Menurutnya, nilai toleransi dan kebersamaan yang wujud dalam program sukan seperti ini adalah tunjang utama dalam membentuk Malaysia yang sejahtera dan harmoni dalam pelbagai bangsa, agama serta budaya.
“Sejarah telah membuktikan bahawa sukan mempunyai kuasa luar biasa dalam menyatukan pelbagai latar belakang dan budaya. Dari padang bola sepak hingga ke sukan komuniti, sukan mencerminkan nilai-nilai penting seperti disiplin, kerjasama dan semangat kesukanan.
“Tidak kira bangsa, agama atau budaya, boleh pelajari dan amalkan dalam kehidupan seharian. Sukan adalah bahasa universal yang mampu merentasi sempadan dan memecahkan dinding-dinding pemisah antara kita,” katanya ketika berucap di Majlis Flag-Off Program Liga Sukan Uniti di Kota Kinabalu, hari ini.
Penganjuran memasuki edisi kali ketiga yang turut mendapat kerjasama rapat Persatuan Bola Jaring Malaysia, Persatuan Bolasepak Malaysia dan Persatuan Badminton Malaysia itu akan berlangsung selama dua bulan iaitu September dan Oktober 2024.
Sementara itu, penganjuran Liga Sukan Uniti pada tahun ini juga turut menyaksikan pertambahan tiga jenis sukan iaitu bola jaring, futsal dan badminton.
Tambahnya lagi, program yang dianjurkan sedemikian adalah sebagai platform untuk mengeratkan pelbagai bangsa dan budaya melalui Detik-Detik Perpaduan ‘Moments of Unity’ melalui platform sukan.
“Oleh itu, marilah kita jadikan sukan sebagai medium untuk meningkatkan rasa cinta dan kebanggaan terhadap negara kita.
“Semoga dengan usaha bersama ini, kita dapat membina sebuah masyarakat yang lebih bersatu padu, harmoni, dan sejahtera,” ujarnya lagi.
KPN turut menyasarkan penglibatan seramai lebih 4,000 pasukan merangkumi 40,000 orang peserta dari pelbagai kaum dan bangsa di peringkat negeri dan kebangsaan.
Kementerian juga telah menetapkan bahawa kejohanan peringkat kebangsaan akan dilaksanakan pada 26 hingga 27 Oktober 2024 di Uptown Sport, Bandar Baru Bangi.-TVS