KUCHING, 15 Sept: Penghayatan Hari Malaysia bukan sahaja dapat dilihat menerusi sambutan tetapi dizahirkan melalui semangat perpaduan ditunjukkan masyarakat majmuk.
Menteri Perpaduan Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata, Hari Malaysia merupakan cara berkesan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat bagi mewujudkan negara yang aman dan harmoni selari usaha kerajaan membangunkan Malaysia MADANI.
Menurutnya, generasi muda merupakan ejen perubahan penting dalam menyahut seruan tersebut terutama dalam menyemarakkan semangat patriotisme dalam hati rakyat Malaysia yang berbilang kaum, budaya, bahasa, tradisi, agama dan latar belakang.
“Kini tiba masa generasi muda menghayati dan meneruskan legasi negara tercinta ini. Sambutan Hari Malaysia adalah masa untuk kita mengukuhkan perpaduan.
“Dalam dunia yang semakin kompleks, perpaduan dan keharmonian adalah kunci kepada kejayaan. Kepada generasi muda, jadilah ejen perubahan yang memupuk semangat perpaduan demi Malaysia yang aman sejahtera,” katanya menerusi kenyataan.
Pada masa sama Aaron turut menyeru masyarakat agar menyemarakkan semangat Hari Malaysia dengan penuh rasa bangga dan cinta terhadap negara.
“Semangat cinta negara harus disemai dalam diri masyarakat agar dapat memajukan Malaysia, menjaga perpaduan dan memelihara identiti negara.
“Ia dapat membuktikan kekuatan dan keindahan yang menjadikan Malaysia unik di mata dunia,” ujarnya.
Menurutnya, pembentukan Malaysia merupakan titik sejarah yang memberi makna besar kerana Malaysia berjaya menjadi sebuah negara berdaulat yang menggabungkan Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.
“Pembentukan Malaysia sebagai sebuah negara merdeka dan berdaulat adalah satu titik sejarah amat penting.
“Hari Malaysia memberi makna besar kepada rakyat kerana ia adalah detik penting yang menyatukan rakyat di tiga wilayah iaitu Semenanjung, Sabah dan Sarawak,” jelasnya. – TVS