KOTA KINABALU, 14 Sept: Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menganjurkan Wacana Harmoni MADANI: Harmoni Dalam Kepelbagaian menjadi platform untuk berkongsi maklumat dasar-dasar negara, kajian dan penerokaan ilmu serta nilai-nilai murni dan amalan terbaik menyerikan perpaduan dan keharmonian masyarakat Malaysia.
Menterinya, Datuk Aaron Ago Dagang mendedahkan salah satu daripada agenda penting yang telah ditetapkan dalam hala tuju Kementerian selaras dengan agenda nasional membangun Malaysia MADANI ialah meningkatkan keharmonian antara penganut agama.
Menurut beliau, defisit sosial adalah antara perkara yang perlu diberi perhatian supaya tidak menggugat pencapaian tahap perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Dalam Indeks Perpaduan Nasional (IPNas) 2022, empat daripada 10 kategori defisit sosial iaitu pendidikan, agama, jurang generasi dan bahasa didapati menggugat pencapaian tahap perpaduan rakyat secara tidak langsung.
“Agama telah menjadi satu daripada defisit sosial kerana kurang sensitiviti dan kefahaman berkenaan agama yang berbeza memberi kesan kepada hubungan dan interaksi masyarakat.
“Justeru, KPN telah mengambil inisiatif melancarkan inisiatif Harmoni MADANI pada April lalu dengan mengetengahkan konsep faham, hormat dan terima dalam usaha meningkatkan keharmonian antara penganut agama,” katanya setelah menyempurnakan majlis perasmian program Wacana Harmoni MADANI: Harmoni Dalam Kepelbagaian, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, beliau memberi jaminan kesemua input wacana akan dianalisis untuk diperkemaskan lagi Dasar Perpaduan Negara dan Pelan Tindakan Perpaduan Negara 2025 – 2030 ke arah mengukuhkan perpaduan dan integrasi nasional.
Tambahnya, setiap masyarakat juga perlu mempunyai kesedaran akan peranan masing-masing untuk membina pemahaman yang baik diiringi nilai keluhuran budi pekerti dalam komuniti.
“Kesepaduan sosial bukan hanya pada makanan atau pakaian, tetapi cara pemikiran untuk memahami secara mendalam kepelbagaian yang wujud di negara ini bagi mencari titik persamaan,” katanya lagi.
Program anjuran bersama Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Sabah itu menampilkan panelis yang terdiri daripada ahli-ahli akademik, pemimpin-pemimpin agama, pengamal perundangan, generasi muda, dan belia yang berhadapan secara langsung dengan kehidupan bermasyarakat di Malaysia.
Antara topik yang dibincangkan melalui wacana tersebut ialah Peranan Agama Dalam Negara Merdeka, Jalinan Kerjasama Menjana Keharmonian Beragama, Peranan Generasi Muda Mendepani Perubahan Global dari Persepektif Agama dan Sesi dialog bersama Ikon Belia: Nilai-nilai Kecemerlangan.
Antara program-program yang telah dilaksanakan melalui inisiatif Harmoni MADANI ialah sembilan program Jejak Harmoni, empat program Dialog Harmoni, podcast Bicara Harmoni bagi berkongsi nilai-nilai murni masyarakat Malaysia dan enam siri dokumentari Harmoni. – TVS