MIRI, 14 Sept: Penyakit jantung merupakan punca utama kematian pramatang di Malaysia, kata Menteri Pengangkutan Sarawak Dato Sri Lee Kim Shin.
Beliau berkata, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia, kematian disebabkan penyakit jantung pada 2022 adalah sebanyak 18.4 peratus.
“Kematian pramatang ialah nyawa yang terkorban antara umur 30 hingga 69 tahun, di bawah purata jangka hayat Malaysia sekitar 75 tahun. Sebanyak 95,266 kematian direkodkan pada 2022 dalam kumpulan umur ini, menurut data dalam laporan Statistik Punca Kematian Malaysia 2023.
“Penyakit jantung adalah pembunuh teratas, membentuk 18.4 peratus daripada kematian yang disahkan secara perubatan pada tahun itu, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan Malaysia. Penyakit jantung ialah punca nombor satu kematian pramatang pada tahun 2022,” katanya ketika berucap merasmikan sambutan Hari Jantung Sedunia peringkat Miri di sini hari ini.
Tambahnya, penyakit kardiovaskular adalah pembunuh senyap, selalunya menyerang tanpa amaran.
“Ia adalah isu yang kompleks dengan pelbagai punca termasuk gaya hidup tidak sihat, genetik dan faktor persekitaran,” ujarnya.
Walau bagaimanapun katanya, dengan pengetahuan, kesedaran dan usaha bersepadu, beban penyakit jantung dapat dikurangkan demi masa depan generasi akan datang.
Jelasnya, amalan gaya hidup sihat seperti bersenam, diet seimbang dan tidak merokok perlu diteruskan.-TVS