KUCHING , 14 September: Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia, Datuk Dr. Muhammad Radzi Abu Hassan akan melakukan kunjungan ke Kuching pada 19 September ini.
Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata, hal ehwal kesihatan akan menjadi fokus perbincangan bersama Kerajaan Sarawak semasa pertemuan berkenaan.
Turut dibincangkan perkara berkaitan penubuhan Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta (CKAPS) di Sarawak.
“Kita telah mencapai persefahaman sama kerana bahagian autonomi kesihatan ini adalah pewakilan kuasa kepada Sarawak.
“Selepas mesyuarat terakhir saya pada Isnin lepas, Katua Pengarah Kesihatan Malaysia akan turun untuk menyelesaikan beberapa isu dengan saya pada 19 September,” katanya.
Beliau berucap semasa Majlis Perasmian Kuching Kidney Center SDN BHD di Kuching pada Sabtu.
Terdahulu, Mesyuarat Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa di Kota Kinabalu.
Sebanyak 11 tuntutan di bawah platform rundingan MA63 berjaya diselesaikan, dengan tujuh daripada tuntutan itu diselesaikan di bawah kerajaan pentadbiran Anwar Ibrahim.
Tuntutan tersebut termasuk Jabatan Kerja Raya (JKR) Sabah dan Sarawak sebagai Jabatan Teknikal, penyerahan kuasa kawal selia bekalan gas, serta pindaan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 1995 bagi melantik wakil Kerajaan Negeri Sabah dan Sarawak sebagai anggota tetap LHDN. -TVS