DARO, 14 Sep: Kerajaan Sarawak telah meluluskan peruntukan lebih RM55 juta bagi pembangunan infrastruktur di Pulau Bruit.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan peruntukan ini sebagai ‘pelaburan’ semula pendapatan Sarawak ke dalam pembangunan wilayah.
“Oleh kerana kita mempunyai niat yang baik, maka Tuhan telah memberikan ilham kepada saya untuk menambah pendapatan negeri Sarawak.
“Pendapatan ini kemudiannya kita ‘labur’ balik melalui pembinaan infrastruktur seperti jambatan di Pulau Bruit.
“Kita hendak cari jalan bagaimana untuk meningkatkan pendapatan masyarakat, terutamanya mereka yang tinggal di kawasan yang terpencil,” katanya semasa merasmikan Pesta Pulau Bruit 2024 hari ini.
Tambahnya, kerajaan mempunyai pelan pembangunan yang menyeluruh bagi kawasan berkenaan agar masyarakat tidak terpinggir dari arus pembangunan.
Jelas beliau, peruntukan itu merangkumi pembinaan pasar tani, medan selera, penambahbaikan Projek Perumahan Penempatan Semula Nelayan Semop dan pembinaan skim perumahan mampu milik berjumlah RM45 juta.
“Kemudahan tersebut perlu disediakan lebih awal berikutan pembinaan Jambatan Batang Paloh dan Muara Lassa yang dijangka akan meningkatkan tumpuan ke Pulau Bruit.
“Penduduk dari Belawai dan Tanjung Manis yang ingin ke Mukah mesti melalui Pulau Bruit. Oleh itu, kita perlu bersedia dengan infrastruktur yang mencukupi di sini,” katanya.
Hadir sama pada majlis itu Ahli Parlimen Tanjong Manis, Ir. Yusuf Abdul Wahab, Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol serta Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali. -TVS