KOTA SAMARAHAN, 14 Sept: Penganjuran Kejohanan Tinju Peringkat 1 Divisyen Tahun 2024 dilihat mempunyai potensi untuk melahirkan pelapis Petinju Malaysia, Sapok Biki.
Melalui pertandingan tersebut, ia mampu membina semangat juang dan keyakinan diri dalam kalangan Angkatan Tentera Darat Malaysia (ATM) serta menguji tahap kematangan, fizikal dan mental.
Panglima 1 Divisyen, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis berkata, penganjuran kejohanan tersebut merupakan satu inisiatif pihak ATM untuk mengembalikan kegemilangan tentera darat dalam melahirkan atlet petinju yang berpotensi.
“Ia dibuktikan melalui kejayaan Major Sapok Biki dalam perjalanan sukan ini yang cukup membanggakan tetapi sekarang di manakah perginya pelapis-pelapis tersebut.
“Rupanya ramai kita punya pelapis saya tengok tadi, kita punyai ramai petinju-petinju yang berpotensi untuk mewakili Satu Divisyen, mewakili Tentera Darat, mewakili ATM, seterusnya mewakili negara,” katanya ketika berucap semasa Kejohanan Tinju Peringkat 1 Divisyen Tahun 2024 di Garaj Kem Muara Tuang di Kota Samarahan malam tadi.
Sementara itu, bekas Petinju Malaysia, Sapok Biki menyatakan bahawa terdapat beberapa bakat yang terserlah melalui penganjuran kejohanan tersebut.
Jelas beliau, sekiranya pendedahan mengenai tinju kepada individu tersebut lebih mendalam dan dibawa menimba pengalaman hingga ke peringkat kebangsaan maka tiada masalah untuk mereka menduduki tempat-tempat yang terbaik dalam setiap kategori.
“Melihat kepada penganjuran peringkat satu divisyen ni, saya ada nampak dua ke tiga peninju yang boleh menyerlah sekiranya pendedahan mereka ini di peringkat kebangsaan kerap dibawa ke kejohanan tersebut.
“Disebabkan saya sendiri boleh perhatikan mereka di mana latihan-latihan yang saya pernah buat dahulu membuatkan saya berjaya dan sebagainya,” jelasnya.
Untuk rekod, sebanyak 14 kategori yang dipertandingkan dalam Kejohanan Tinju Peringkat 1 Divisyen Tahun 2024 dengan penyertaan seramai 102 peserta.
Antara kategori yang dipertandingkan ialah kategori pegawai dengan berat badan berbeza iaitu bawah 67kg dan 67kg ke atas manakala kategori terbuka melibatkan berat badan berbeza iaitu light middle (68kg -71kg), middle (72kg -75kg), light heavy (76kg -80kg), cruiser (81kg – 86kg) dan heavy (87kg – 92kg).
Kejohanan tersebut hanya disertai oleh anggota tentera darat dari empat formasi yang berpangkalan di Sarawak sahaja.
Bagi pertandingan di peringkat akhir, seramai 28 peserta berjaya melayakkan diri setelah enam hari perlawanan berlangsung bermula pada 8 hingga 13 September 2024. – TVS