KOTA SAMARAHAN, 14 Sept: Kejohanan Tinju Peringkat 1 Divisyen Tahun 2024 melabuhkan tirainya malam tadi dengan menyaksikan pasukan Formasi 31 Briged mengekalkan kejuaraan keseluruhan dua kali berturut-turut sejak tahun 2022.
Kejohanan tersebut telah berjaya mengumpulkan seramai 11 orang pegawai bagi kategori pegawai dan 99 anggota Angkatan Tentera Darat Malaysia (ATM) Lain-Lain Pangkat termasuk dua pegawai dalam kategori terbuka.
Bagi Pemenang Anugerah Petinju Terbaik, Mohamad Syahami Mohd Sanusi, dia telah mepersiapkan diri dengan disiplin yang tinggi untuk menjalani latihan kerana disiplin merupakan kunci kepada kejayaannya.
“Untuk persiapan pertandingan kali ini agak keras jugalah, bolehlah dikatakan memang keras, pagi bangun kena awal terutamanya disiplin.
“Peringkat tertinggi sebelum ini saya pernah menyertai Piala Malaysia tahun 2024, Piala Malaysia Open Sarawak dan Golden Gloves dekat Johor,” katanya semasa ditemui pemberita selepas Kejohanan Tinju Peringkat 1 Divisyen Tahun 2024 di Garaj Kem Muara Tuang di Kota Samarahan malam tadi.
Manakala bagi Pemenang Anugerah Petinju Berpotensi, Muhamad Irfan Adli Damili, dia tidak menyangka dapat memenangi anugerah Petinju Terbaik kerana kejohanan tersebut merupakan penyertaan pertamanya dalam sukan tinju.
Jelasnya, sebelum ini dia bergiat aktif dalam sukan Muay Thai namun terlibat dalam kejohanan tinju itu hanya untuk merasakan sendiri pengalaman dalam sukan tersebut.
“Saya sebenarnya memang sudah mensasarkan untuk menyertai kejohanan tinju di bawah naungan satu divisyen tapi saya pun tidak menyangka dapat meraih kejayaan seperti ini iaitu tinju berpotensi.
“Jadi yang pertama sekali saya nak berterima kasih kepada team-team saya barisan jurulatih saya mejar Sapok Biki, Encik Enggam, Encik Chris yang lain semua sekali kerana telah membantu saya sepanjang perjalanan saya dan mak ayah saya,” jelasnya. – TVS