KUCHING, 13 Sep: Universiti Teknologi MARA (UiTM) Cawangan Sarawak dengan kerjasama tHe Spring Shopping Mall akan menganjurkan program komuniti STEAM Kids Carnival bermula 18 hingga 21 September 2024 di pusat beli-belah itu di sini.
Kenyataan UiTM Cawangan Sarawak menjanjikan karnival empat hari itu akan menghidangkan pelbagai aktiviti menarik untuk kanak-kanak dari semua peringkat umur selain memberi peluang unik kepada peserta untuk terlibat dengan konsep Sains, Teknologi, Kejuruteraan, Seni, dan Matematik (STEAM) secara interaktif dan menyeronokkan.
Acara menarik cuti sekolah itu bertujuan untuk mencetuskan imaginasi minda muda melalui aktiviti STEAM sambil mempromosikan kreativiti, pembelajaran, dan kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.
“STEAM Kids Carnival adalah sebahagian daripada komitmen UiTM Cawangan Sarawak untuk memupuk kecintaan terhadap pembelajaran, inovasi, dan kreativiti dalam kalangan pelajar muda.
“Ia bertujuan untuk mewujudkan platform di mana kanak-kanak dapat meneroka potensi mereka sambil mempromosikan gaya hidup lestari melalui aktiviti yang menyeronokkan dan mendidik,” menurut kenyataan itu.
Tambah kenyataan itu, antara acara yang bakal diadakan adalah Pertandingan Mewarna Little Scientist, Pertandingan Ejaan (Spelling Bee) Pertandingan Bercerita (Story-telling) dan Pertandingan Rumah Kucing DIY–Paws & Boxes.
Bukan itu sahaja, karnival itu juga bakal menampilkan Ceramah Kesedaran Kelestarian yang membincangkan kelestarian dari pelbagai perspektif, memberi inspirasi kepada peserta cilik untuk mempertimbangkan bagaimana STEAM boleh menyumbang kepada masa depan yang lebih lestari serta beberapa pameran dana sesi demonstrasi yang menarik, akan menyediakan pengalaman interaktif dan praktikal dalam pelbagai projek sains dan teknologi.
Untuk maklumat lanjut, layari laman sesawang tHe Spring di https://thespring.online/workshops/STEAMKIDSCARNIVAL. – TVS