LIMBANG, 12 Sept: Tarikh 16 September setiap tahun bukan sahaja untuk memperingati penubuhan Malaysia tetapi detik rakyat meraikan perpaduan dalam kepelbagaian.
Tinjauan di Limbang menyaksikan rata-rata penduduk mahu keharmonian, kestabilan dan semangat bersatu terus dikekalkan untuk menjulang Sarawak ke arah wilayah maju.
Menurut mereka, setiap lapisan rakyat Malaysia mempunyai peranan dan tanggungjawab penting dalam memastikan keamanan terus dikecapi serta mengelak sebarang pertelingkahan yang boleh meranapkan perpaduan dikecapi selama ini.
Bagi pegawai bank, Francis Davin Nyoro berkata, Sarawak kini semakin membangun hasil keharmonian dan perpaduan rakyat pelbagai kaum.
Francis yang berasal dari Kuching menjelaskan, rakyat Sarawak dikenali sebagai masyarakat bersatu padu dan hidup harmoni.
“Pada Hari Malaysia, saya berharap rakyat Malaysia terus mengutamakan jasa dan bakti kepada negara. Marilah kita bekerjasama dengan memupuk semangat Hari Malaysia,” katanya.
Jenny Advice yang merupakan penduduk Limbang menyifatkan Hari Malaysia amat penting dan menggambarkan keharmonian rakyat Malaysia.
Bekerja sebagai jururawat di Hospital Limbang, Jenny berkata, Hari Malaysia amat signifikan untuk seluruh rakyat memperingati pengorbanan pemimpin terdahulu membentuk negara dan bangsa.
Tambahnya, Hari Malaysia memberi makna besar kepada rakyat kerana menjadi detik penting dalam menyatukan rakyat di tiga wilayah pada ketika itu.
“Hargailah penubuhan Malaysia yang diraikan 16 September ini. Janganlah kita menghancurkan keharmonian yang dikecapi ini,” ujarnya.
Sally Kong Mee Shien pula berpendapat Hari Malaysia memberi makna mendalam terhadap rakyat Malaysia di Sarawak.
Tambahnya, usaha membangun dan memajukan Sarawak perlu dilakukan dengan penuh rasa patriotik.
“Semangat bersatu padu dalam diri rakyat menjadi kunci kepada kejayaan Sarawak menjadi wilayah maju.
“Saya berharap Sarawak terus menjadi wilayah paling maju di Malaysia, ekonomi semakin berkembang dan rakyat sentiasa bersatu padu,” jelasnya.-TVS