KUCHING, 11 Sep: Kerajaan Sarawak disyor agar mengukuhkan tiga perkara sebelum mengambil alih kuasa autonomi pendidikan dan kesihatan sepenuhnya.
Menurut sejarawan Sarawak, Dr Loji Saibi tiga perkara itu ialah mengukuhkan kedudukan kewangan, tenaga kerja mahir mencukupi dan infrastruktur lengkap.
“Sarawak perlu mengambil kira juga kerana kedua-dua perkara ini agak besar, dari segi peruntukan memang memakan belanja yang besar.
“Sekiranya Sarawak belum bersedia, sukar untuk mengambil alih peranan dalam dua perkara itu,” katanya kepada TVS, hari ini.
Jelas beliau, ketiga-tiga perkara asas tersebut memiliki kebergantungan yang tinggi antara satu sama lain bagi memastikan kuasa autonomi yang diturun kepada Sarawak memberikan manfaat kepada rakyat.
“Malahan (infrastruktur) sekolah yang ada sekarang bukan seperti yang kita mahu.
“Meskipun kerajaan negeri ada peruntukan, tapi adakah peruntukan itu untuk ini sahaja atau yang lain lagi,” soalnya.
Beliau berkata sistem pendidikan dan kesihatan perlu diurus oleh Kerajaan Sarawak seperti yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia (MA) 1963. – TVS