BAND jazz dan soul terkenal Indonesia, MALIQ & D’Essentials akan tampil menerusi konsert ‘Can Machines Fall In Love? Album Tour’ di Megastar Arena, Kuala Lumpur.
Penganjur konsert berkenaan, Kharisma Music menerusi kenyataan, memaklumkan konsert tersebut akan diadakan pada 8 malam, 29 Disember 2024.
“Kharisma Music telah terbang ke Jakarta bagi mendapatkan hak eksklusif untuk mengadakan konsert MALIQ & D’Essentials di Kuala Lumpur buat peminatnya di Malaysia,” kata Ketua Pengarah Eksekutif dan Pengasas Kharisma Music, Ahmad Jeffny.
Band yang mula ditubuhkan pada 15 Mei 2002 ini buat pertama kalinya mengadakan konsert secara besar-besaran di dua negara, Indonesia dan Malaysia dalam siri jelajah mempromosikan album terbaharu mereka berjudul ‘Can Machines Fall In Love? (CMFIL?)’ yang dilancarkan pada Mei lalu.
Ini merupakan album kesembilan band tersebut setelah 22 tahun berada dalam industri muzik.
Dianggotai Angga Puradiredja, Indah Wisnuwardhana, Widi Puradiredja, Jawa, Lale dan Ilman Ibrahim, mereka teruja untuk mengadakan konsert di beberapa provinsi di Indonesia dan yang terakhir di Malaysia.
Pemain dram band itu, Widi berkata konsert itu merupakan siri jelajah pertama setelah lebih 20 tahun ditubuhkan.
“Peminat di Malaysia boleh menjangkakan persembahan lebih dua jam dengan membawakan lebih 20 lagu, termasuk gubahan muzik istimewa, dan dilengkapi dengan kemasan audio visual serta penataan cahaya yang menarik.
“Yang pasti, konsepnya berlainan daripada apa yang pernah kami tampilkan sebelum ini,” katanya.
Widi turut memberitahu walaupun lagu-lagu yang terkandung dalam album CMFIL? akan dinyanyikan ketika konsert, mereka turut memasukkan lagu dari album-album sebelumnya.
Hal ini dilakukan agar konsert berjalan lancar, kerana belum tentu kesemua penonton tahu dan hafal lagu baharu MALIQ & D’Essentials.
Konsert ini bukan hanya tentang menyanyikan lagu-lagu viral seperti ‘Kita Bikin Romantis’, ‘Aduh’ atau ‘Begini Begitu’, bahkan lebih dari itu yakni MALIQ & D’Essentials dapat berinteraksi secara langsung dengan peminat-peminat mereka untuk meraikan pencapaian dalam berkarya dua dekad lamanya.
Tiket konsert mula dijual pada 3 September lalu di laman web www.ticket2u.com/maliq&d’essentials