LONDON, 11 Sept: Ekonomi Britain pada Julai sekali lagi mendatar berpandukan data rasmi hari ini, sekali gus memberi tamparan kepada kerajaan baharu pimpinan Parti Buruh yang meletakkan pertumbuhan ekonomi sebagai keutamaannya.
Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menunjukkan pertumbuhan sifar pada Julai berbanding Jun apabila pengeluaran mendatar, kata Pejabat Perangkaan Kebangsaan (ONS) menerusi kenyataan.
Penganalisis meramalkan sedikit peningkatan pertumbuhan bagi Julai manakala data sebelumnya menunjukkan ekonomi UK berkembang pada kadar yang lebih perlahan pada suku kedua berbanding suku pertama.
Kerajaan Buruh pimpinan Perdana Menteri Keir Starmer memenangi pilihan raya pada awal Julai skali gus menamatkan pemerintahan Parti Konservatif selama 14 tahun.
“Saya tidak terbayang tentang skala cabaran yang kita hadapi dan saya akan jujur kepada rakyat Britain bahawa perubahan tidak akan berlaku dalam sekelip mata,” kata Menteri Kewangan Rachel Reeves sebagai reaksi kepada data itu.
“Dua suku pertumbuhan ekonomi positif tidak dapat menampung empat belas tahun (pertumbuhan) mendatar.
“Inilah sebabnya kami (kerajaan) mengambil keputusan jangka panjang sekarang untuk menetapkan asas ekonomi,” tambahnya.
Reeves berjanji untuk melaksanakan ‘disiplin lebih ketat’ ke atas kewangan awam untuk mendapatkan semula apa yang dianggap kelompongan hitam mencecah £22 bilion ($29 bilion) yang diwarisi daripada Kerajaan Konservatif.
Reeves memaklumkan beberapa cukai akan dinaikkan dalam belanjawan sulungnya pada akhir Oktober untuk membantu membiayai jurang itu.
Kerajaan telah mengumumkan rancangan untuk menamatkan faedah bahan api untuk berjuta-juta pesara.
Kerajaan didorong oleh berita bahawa gergasi teknologi Amerika Syarikat (AS) Amazon akan melabur £8 bilion ($10.5 bilion) di Britain dalam tempoh lima tahun akan datang (yang dijangka akan) mewujudkan beribu-ribu pekerjaan melalui cabang perkhidmatan web.
“Kami mengambil keputusan jangka panjang sekarang untuk menetapkan asas ekonomi kami termasuk pengumuman hari ini dari perkhidmatan web Amazon yang akan membantu membina semula Britain dan menjadikan setiap bahagian di negara ini lebih baik,” tambah Reeves.
Pelaburan untuk membina, mengendalikan dan menyelenggara pusat data di UK boleh menyumbang £14 bilion kepada KDNK Britian dan menyokong lebih 14,000 pekerjaan setiap tahun merentasi rantaian bekalan, kata Amazon.
“(Tindakan) kerajaan memujuk Amazon untuk terus melabur dalam perkhidmatan teknologi merupakan strategi yang baik,” kata Danni Hewson, ketua analisis kewangan di AJ Bell.
“(Namun dengan) begitu banyak khabar angin tentang belanjawan bulan depan (untuk menarik) lebih banyak perniagaan bagi menyuntik wang tunai ke UK, ia memerlukan pentadbiran yang cekap,” tambahnya. -TVS.