SIBU, 10 Sept: Mayat pemuda yang lemas selepas jatuh dari Jambatan Lanang di sini, ditemui malam tadi selepas empat hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan sejak Jumaat lalu.
Komander Operasi, PKPgB Suna Kaha berkata, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Merah menerima panggilan memohon bantuan mengambil mayat di Wharf Toung Aïk Shipyard Sdn Bhd, Batang Igan pada jam 10.07 malam.
“Setelah membuat size-up didapati mayat lelaki dewasa berada di himpunan kayu di antara kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan tersebut.
“Setelah berbincang dengan pihak polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), pasukan operasi pihak APM menggunakan bot untuk mengambil mangsa. Setelah operasi berjaya dan urusan penyerahan mayat selesai, maklumat mangsa gagal diperoleh dan belum dapat dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pada jam 5.54 pagi tadi pihak polis memaklumkan mayat yang dijumpai disahkan sebagai Aaron Wisley Jamut, 23.
“Dengan penemuan hayat berkenaan operasi SAR ditamatkan sepenuhnya,” katanya.
Pihak bomba menerima laporan berhubung kes itu jam 1 tengah hari pada Jumaat dengan menggerakkan lima anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral ke lokasi kejadian.
BBP Sibu Sentral menerima panggilan daripada Balai Polis Lanang melaporkan seorang lelaki dewasa berusia 23 tahun dikhuatiri hilang.
Berdasarkan maklumat dari orang awam berkenaan dengan penemuan sebuah motosikal jenis Yamaha Y15ZR di atas Jambatan Lanang dipercayai milik mangsa.
Bapa kepada mangsa telah membuat laporan polis menyatakan anaknya telah keluar rumah untuk memeriksa wang gajinya di dalam bank pada Khamis sekitar jam 8 malam.-TVS