KUCHING, 10 Sept: Keindahan pemandangan semula jadi di Sarawak terutamanya di kawasan bandar raya ini dan Bau telah menarik minat seorang pengarah dan penerbit dari Semenanjung Malaysia untuk menerbitkan filem indie sulungnya berjudul Love Crush.
Johan Chairil berkata, dia juga telah mempertaruhkan 80 peratus kru dan bakat tempatan Sarawak dalam filem berkenaan.
Katanya mereka telah menggunakan 100 peratus dana sendiri untuk membangunkan projek itu.
“Sarawak (yang memiliki) pemandangan semula jadi yang menakjubkan, warisan budaya yang kaya dan komuniti yang pelbagai telah menawarkan banyak peluang untuk pembuat filem.
“Dengan mempamerkan keindahan dan ciri unik Sarawak, kami berharap dapat mengalakkan lebih ramai pembuat filem untuk meneroka destinasi yang luar biasa ini sebagai lokasi penggambaran utama,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena permulaan penggambaran utama filem itu yang turut dihadiri Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan di sini hari ini.
Ditanya mengenai cabaran yang bakal dihadapi, Johan tidak menafikan perkara itu terutamanya untuk mengumpulkan pasukannya kerana industri pembuatan filem di wilayah ini masih berada di peringkat awal.
Namun dia percaya usahanya dapat mewujudkan lebih banyak peluang kepada pengarah-pengarah yang berpotensi untuk memperjuangkan cerita-cerita Sarawak dan membawanya ke peringkat global.
Beliau turut berkongsi filemnya kini berjaya menambat hati sebuah syarikat pengedaran filem dari Melbourne, Australia yang mahu memasarkan filem itu di Australia, New Zealand dan Amerika Utara pada tahun hadapan.
“Ini merupakan satu langkah penting dalam mempromosikan bakat dan keindahan Sarawak kepada penonton antarabangsa,” ujarnya lagi.
Selain dipasarkan di luar negara, filem tersebut akan dipasarkan di panggung wayang di seluruh negara.
Filem berkenaan memaparkan kisah cinta yang tidak terjawab antara Nasha Ambrose (Agnes Jibin) dan Joshua E. James (Johan Sabang) yang mengetengahkan genre romantik dan komedi dan menggunakan Bahasa Melayu Sarawak serta Bahasa Inggeris. – TVS