SERIAN, 8 Sept: Penganjuran Majlis Makan Malam Kebudayaan Tiong Hua ke-6 memberi peluang kepada komuniti Cina berkumpul dan merapatkan hubungan antara mereka.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, majlis kebudayaan melibatkan pelbagai suku etnik Cina itu secara tidak langsung mempromosikan keharmonian masyarakat.
Menurutnya, pada masa sama majlis tersebut memberi ruang kepada mereka menyambut perayaan kuih bulan yang bakal tiba minggu hadapan.
“Majlis ini lebih daripada perhimpinan kerana memberi peluang kepada anda (komuniti Cina) bertemu dan menghargai budaya yang diamalkan selama ini.
“Saya tahu malam ini masa untuk bergembira kerana minggu depan anda semua akan menyambut perayaan kuih bulan, malam ini merupakan permulaan kepada perayaan kuih bulan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Makan Malam Kebudayaan Tiong Hua ke-6 dan Perayaan Kuih Bulan Bahagian Serian 2024 pada Sabtu.
Sementara itu, Pengerusi Lembaga Pengurusan SJK Chung Hua Batu 35, Penghulu Philip Lee menjelaskan, perayaan kebudayaan Cina dan kuih bulan merupakan platform terbaik kepada warga sekolah menampilkan budaya serta bakat.
Menurutnya, ia merupakan tanda penghargaan kepada warisan budaya dan memupuk perpaduan dalam kalangan warga sekolah.
“Perayaan ini adalah bukti kekayayaan warisan dan tradisi masyarakat Cina. Ini merupakan platform mempamerkan keindahan bahasa, muzik, tarian dan seni masyarakat Cina,” ujarnya.-TVS