SYDNEY 8 Sept: Persatuan Renang Australia pada Jumaat memecat seorang jurulatih Olimpik mereka yang didakwa menyebabkan kerosakan reputasi yang serius kerana menyokong atlet Korea Selatan.
Michael Palfrey mencetuskan kontroversi selepas berkata dia berharap Kim Woo-min yang pernah dilatihnya akan memenangi acara 400m gaya bebas lelaki berbanding dua atlet Australia dalam acara itu.
Ketua jurulatih Rohan Taylor berkata tindakan Palfrey adalah ‘tidak seperti orang Australia’ namun mereka tidak memecatnya serta merta kerana dibimbangi akan menyebabkan gangguan teruk kepada pasukan.
“Persatuan Renang Australia telah menamatkan perkhidmatan Michael Palfrey kerana melanggar kontrak kerja.
“Palfrey didapati memberi kesan buruk kepada kepentingan persatuan,” jelas kenyataan itu.
Palfrey melatih tiga perenang Australia iaitu Zac Incerti, Abbey Connor dan Alex Perkins.
Pada masa sama, dia juga membimbing Kim yang berlatih di Brisbane menjelang Sukan Olimpik Paris 2024.
Palfrey memakai pakaian Australia ketika dia ditemu bual mengenai Kim oleh wartawan Korea Selatan.
“Saya benar-benar berharap dia boleh menang tetapi saya sansat berharap agar dia berenang dengan baik.
“Go Korea,” katanya menerusi temu bual itu. – TVS.