TAIPING, 7 Sept: Seorang lelaki mengalami kecederaan parah selepas ditetak dengan sebilah parang akibat perasaan cemburu dalam kejadian di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner (ACP) Mohamad Nasir Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita kira-kira pukul 7.20 malam yang memaklumkan mangsa ditetak oleh suaminya.
Katanya, susulan kejadian itu, mangsa berusia 29 tahun yang mengalami kecederaan parah pada badan dikejarkan ke Hospital Taiping untuk rawatan.
“Suspek berusia 25 tahun juga berjaya ditangkap dalam tempoh kurang 24 jam.
“Siasatan awal mendapati motif kejadian berpunca kerana perasaan cemburu suspek,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau, kes disiasat di bawah Seksyen 326 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan kecederaan parah dengan senjata atau lain-lain benda berbahaya. – TVS