KOTA SAMARAHAN, 7 Sept: Latihan ketenteraan digabungkan dengan ajaran agama dan kesenian berupaya melahirkan anggota dan pegawai tentera yang bermoral tinggi, kata Panglima 1 Divisyen Infantri, Tentera Darat Malaysia, Mejar Jeneral Datuk Mohamed Fauzi Kamis.
Menurutnya, elemen kesenian yang ditampilkan menerusi Battle of The Bands Peringkat 1 Divisyen bukan sekadar hiburan tetapi juga salah satu inisiatif untuk mencungkil bakat seni dalam kalangan anggota dan pegawai tentera.

“Dengan pertandingan band seperti malam ini, mereka dapat melepaskan tekanan setelah mereka bekerja keras dengan latihan-latihan ketenteraan,” katanya ketika ditemui pada pertandingan itu di Kem Muara Tuang di sini, malam tadi.
Menjelaskan tentang pertandingan itu, beliau berkata juara akan mewakili 1 Divisyen untuk bertanding di peringkat lebih tinggi pada Oktober kelak.
Pertandingan itu turut ditonton Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) Datuk Abdullah Saidol dan Panglima Medan Timur Tentera Darat, Leftenan Jeneral Datuk Mohd Sofi Md Lepi.
Sebanyak 11 kumpulan dari 3 Briged, 9 Briged dan 31 Briged berentap yang terdiri daripada D’ Hornet Band, S’ Thirteen Bands, D’ Sayven Knight, D’ Absolute Green dan D’ Eleven.
Selain itu, ia turut disertai The Sixth, D’ Obisa Army Band, Rhytm Symphony, The Croc Band, The Red Hackle dan Eastern Venom.
Pertandingan itu dijuarai Eastern Venom dari Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat, naib johan S’ Thirteen Bands (13 Rejimen Askar Melayu Diraja) dan tempat ketiga Rhythm Symphony (10 Rejimen Sempadan).
Dengan kemenangan itu, Eastern Venom menerima hadiah wang tunai RM2,000, sijil penyertaan dan tawaran merakamkan lagu di studio Syarikat Harmoni Biru yang ditaja sepenuhnya syarikat tersebut.
Naib johan, S’ Thirteen Bands menerima RM1,500 dan tempat ketiga, Rhythm Symphony (RM1,000).


Sebagai tambahan, Abdullah turut bermurah hati menambah hadiah wang tunai untuk juara, persembahan terbaik dan penyanyi terbaik.
Persembahan terbaik dimenangi S’Thirteen Band, vokal terbaik diungguli Eastern Venom dan gelaran pencipta lagu terbaik dirangkul Koperal Rorenza Dandung Stanly dengan judul lagu Perwira Sejati.