KUCHING, 6 Sept: Penjelajahan obor peringatan di Sarawak sempena sambutan Ulang Tahun ke-50 Petronas bakal berakhir di Kuching pada Majlis Penutupan Petronas BeDigital Bootcamp kohort kelapan di sini.
Sebelum ini penjelajahan melewati beberapa bandar utama di wilayah ini termasuk Miri, Sibu, Bintulu dan Sri Aman.
Pengurus Besar Kanan, Pelaksanaan Projek dan Teknologi, Petronas, Abang Jimmy Abang Mordian selaku pembawa obor berkenaan dari Sri Aman menyerahkan ia kepada Naib Presiden Kanan, Pelaksanaan Projek dan Teknologi, Mohd Yusri Mohamed Yusof.
Menurut Abang Jimmy, acara simbolik berkenaan melambangkan legasi Petronas yang utuh selain komitmen berterusan pihaknya dalam memacu kemajuan masyarakat.
“Jadi semua program yang dianjurkan ini bukan sekadar untuk menyemarakkan sambutan ulang tahun ke-50 petronas, ia adalah tanda komitmen kami dalam membantu komuniti setempat dan juga untuk mengeratkan hubungan baik dengan pemegang taruh,” katanya ketika ditemui TVS, baru-baru ini.
Tambahnya, inisiatif Petronas itu selaras dengan aspirasi ekonomi digital negara yang bertujuan untuk memupuk bakat-bakat baharu bagi memenuhi permintaan pasaran masa hadapan.
Justeru itu, kata Abang Jimmy, usaha sedemikian perlu dipergiatkan bermula sekarang dan secara berterusan dalam usaha untuk memastikan kelangsungan Petronas maju jaya dalam 50 tempoh tahun akan datang.
Terdahulu, majlis turut menyaksikan Abang Jimmy menyampaikan anugerah peserta terbaik Petronas BeDigital Bootcamp kali ini.
Peserta lelaki terbaik dimenangi Caven Tang Than Yek dari Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) yang turut ditawarkan peluang pekerjaan bersyarat.
Manakala, peserta terbaik perempuan pula ialah Audrey Stefanie Julip dari Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak yang turut ditawarkan dua pekerjaan bersyarat.
Seramai 24 rakan kongsi pekerja serta 100 pelajar daripada 10 universiti di Sarawak hadir pada majlis berkenaan.
Setakat ini, Petronas telah memberi peluang kepada lebih 600 pelajar tempatan untuk menyertai Program BeDigital Bootcamp yang dianjurkan sebelum ini.
Pada majlis penutupan itu juga, Mohd Yusri menyerahkan obor kepada Pengurus Besar Kanan Petronas Carigali Sdn Bhd (Sarawak Aset), Noriani @ Yati Mohamed.
Obor tersebut mengiringi kontinjen Sarawak di Kuala Lumpur baru-baru ini untuk disatukan dengan obor kedua, sebagai tanda mengakhiri siri jelajah ‘Journey of the Twin Torches’, sempena acara kemuncak Sambutan Ulang Tahun Petronas ke-50. – TVS