ALOR SETAR, 6 Sept: Jabatan Imigresen Malaysia menolak kemasukan seramai 29 warga Pakistan yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi dekat sini kelmarin setelah didapati mencurigakan.
Kumpulan terdiri daripada 28 lelaki dan 1 perempuan yang berasal dari kawasan pedalaman Pakistan itu tiba dengan pesawat FZ1603 di Pulau Langkawi dikatakan mahu menyertai acara larian Tuba Cross Country Run di Pulau Tuba pada 7 September.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain berkata, hasil soal siasat di kaunter pemeriksaan lapangan terbang mendapati kumpulan itu membelanjakan hampir RM2,000 untuk kos penerbangan dan perbelanjaan lain untuk ke negara ini.
Katanya, perkara yang menarik perhatian pihaknya apabila yuran penyertaan pertandingan itu hanya RM45 dengan tawaran hadiah utama sebanyak RM300.
“Kumpulan itu didapati hanya membawa kurta tanpa pakaian dan kasut sukan yang bersesuaian untuk (menyertai) acara tersebut.
“(Ia menimbukkan pertanyaan) Adakah ini strategi (mereka) untuk menyembunyikan motif sebenar dan mengapa tidak dibawa (bersama) pakaian (sukan) yang bersesuaian,” kata Mohd Ridzzuan dalam kenyataan hari ini.
Ujar beliau, tindakan kumpulan tersebut membuat tempahan bilik di sebuah hotel bajet dan membeli tiket penerbangan pulang menuju ke Dubai sehari selepas acara itu turut menimbulkan persoalan dan keraguan.
“Kebiasaannya peserta yang menyertai sebarang program di pulau legenda ini akan mengambil kesempatan melancong dan meneroka lokasi-lokasi menarik sebelum kembali ke negara masing-masing.
“Penganjur acara berkenaan turut mengesahkan bahawa tiada peserta asing lain yang mendaftar selain kumpulan tersebut,” katanya lagi.
Tambahnya, disebabkan niat dan motif yang tidak munasabah, pegawai Imigresen di kaunter memutuskan untuk menolak kemasukan mereka di bawah Seksyen 8(3)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana disyaki bukan pelancong tulen.
“Keputusan ini diambil untuk memastikan keselamatan dan integriti acara serta negara kita.
“Kesemua 29 warga Pakistan tersebur telah dihantar pulang ke negara asal selepas mereka diberikan notis penolakan masuk,” ujar beliau.
Kata beliau, pihaknya tidak akan berkompromi dengan kemasukan pelawat yang tidak memenuhi syarat dan akan meneruskan tindakan tegas ke atas mana-mana pihak yang didapati melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966, Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 serta Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM). – TVS