Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan, Datuk Aedy Fadli Ramli mengadakan tinjauan di kaunter perkhidmatan di Pejabat JPJ Negeri Pulau Pinang, Seberang Jaya di sini hari ini. Foto TVS

JPJ tingkat mutu perkhidmatan kaunter

BUKIT MERTAJAM, 6 Sept: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mempertingkatkan mutu perkhidmatan kaunter di seluruh negara dalam usaha memberikan perkhidmatan terbaik susulan teguran Ketua Setiausaha Negara Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar yang melakukan lawatan mengejut ke Pejabat JPJ Cawangan Galeria Putrajaya pada Isnin.

Ketua Pengarahnya, Datuk Aedy Fadli Ramli berkata, penambahbaikan itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Isnin depan selepas pihaknya mengadakan perbincangan dengan pengarah negeri terlebih dahulu berikutan kaedah pelaksanaan yang berbeza.

Menurutnya, JPJ akan menyediakan pegawai pemudah cara dikenali sebagai JPJ Assist untuk membantu pelanggan yang beratur dengan menasihati sama ada mereka perlu membuat urusan di kaunter, secara dalam talian atau kiosk.

“Selain itu, kita menggalakkan pelanggan membuat urus niaga pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LLM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) secara dalam talian melalui aplikasi MyJPJ dan portal mySIKAP.

“JPJ akan menambah baik sistem JPJeQ untuk membolehkan pelanggan mendapatkan nombor giliran melalui imbasan kod QR dan boleh berada di mana-mana sementara menunggu nombor giliran tiba dalam tempoh 10 minit.

“Prosedur operasi standard (SOP) akan dipinda bagi urus niaga berkaitan pelesenan kenderaan dan pemandu dengan menggantikan dokumen atau borang fizikal kepada e-dokumen dan e-borang yang boleh dilengkapkan lebih awal sebelum berurusan di kaunter,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan ke kaunter perkhidmatan di Pejabat JPJ Negeri Pulau Pinang, Seberang Jaya di sini, hari ini.

Menurutnya, dengan pelaksanaan empat tindakan tersebut, pihaknya berharap penambahbaikan itu dapat mengurangkan kesesakan dan memendekkan masa menunggu kepada pelanggan yang seterusnya menyediakan perkhidmatan terbaik.

Terdahulu, Shamsul Azri menerusi catatan di laman Facebooknya berkata, hasil lawatan mengejut itu, beliau mendapati terdapat ruang penambahbaikan oleh JPJ bagi kepuasan pelanggan apabila melihat masa menunggu agak lama dan perlu ditambah baik.

Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada petugas JPJ yang bertungkus lumus memberi perkhidmatan baik kepada pelanggan. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan