BUTTERWORTH, 5 Sept: Seorang lelaki ditemui maut selepas terperangkap dalam kebakaran sebuah rumah di Jalan Assumption di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.20 pagi itu, mangsa, Liew Hoong Kwee, 55, ditemui tidak sedarkan diri di dalam bilik tidur sebelum disahkan meninggal dunia.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 1.28 pagi sebelum jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Butterworth digerakkan ke lokasi kejadian.
“Apabila bomba tiba di tempat kejadian, didapati terdapat kebakaran satu unit rumah kelas B berkeluasan kira-kira 186 meter persegi.
“Kebakaran berlaku di dalam bilik tidur dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan di lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak bomba. – TVS