Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Gambar edaran Keluarga Diraja Thailand pada 18 Ogos 2024 menunjukkan Paetongtarn Shinawatra sujud kepada foto Raja Thailand, Maha Vajiralongkorn semasa pengesahan pelantikan beliau sebagai perdana menteri baharu Thailand di Bangkok. Foto, AFP.

PM baharu Thailand umum kabinet, gugur wakil parti yang ‘rapat’ dengan tentera

BANGKOK, 4 Sept: Perdana Menteri baharu Thailand mengumumkan barisan kabinetnya hari ini dengan menggugurkan wakil parti yang rapat dengan tentera buat kali pertama sejak 2019.

Raja Maha Vajiralongkorn secara rasmi mengesahkan pasukan menteri baharu yang dicalonkan oleh Paetongtarn Shinawatra dari Parti Pheu Thai dan beliau dijangka membentangkan dasarnya kepada parlimen minggu depan.

Paetongtarn, 38, anak perempuan kepada jutawan kontroversi yang juga bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra dipilih sebagai perdana menteri termuda Thailand bulan lalu selepas Mahkamah Perlembagaan Thailand memecat Srettha Thavisin atas dakwaan etika.

Senarai diumumkan Paetongtarn menunjukkan jawatan menteri kanan tidak banyak berubah namun beliau menggugurkan pemegang jawatan daripada Parti Palang Pracharath (PPRP) yang diketuai oleh bekas ketua tentera yang melakukan rampasan kuasa ketika negara itu dipimpin Prawit Wongsuwan.

PPRP ditubuhkan sebagai wadah untuk pemimpin junta mengekalkan kuasa pada pilihan raya 2019 dan menerajui kerajaan sehingga pilihan raya tahun lalu yang menyaksikan Pheu Thai menang besar.

Pheu Thai sebelum ini mencetuskan kejutan serta kegusaran dalam kalangan penyokong apabila menambah PPRP menjadi sebahagian daripada gabungannya pada Ogos tahun lepas.

Prawit merupakan salah seorang ‘arkitek bertanggungjawab’ yang menggulingkan perdana menteri terakhir Pheu Thai yang juga ibu saudara Paetongtarn, Yingluck Shinawatra pada 2014 yang membuka laluan kepada pemerintahan tentera selama lima tahun.

Lelaki berusia 79 tahun itu disiasat selepas dia dirakam menampar seorang wartawan wanita yang cuba bertanya soalan kepadanya.

Kerjasama dengan PPRP dilihat sebagai ‘satu perjudian’ oleh banyak pihak kerana hubungan rapat parti itu dengan pegawai kanan tentera yang bermusuh dengan Thaksin serta sekutunya yang telah mewarnai politik Thailand selama lebih 20 tahun.

Politik Thailand telah lama dibelenggu oleh perebutan kuasa antara Thaksin dan golongan elit pro tentera dan pro-raja yang konservatif.

Thaksin bekas taikun telekomunikasi dan pemilik kelab bola sepak Manchester City memimpin partinya memenangi beberapa pilihan raya namun kerajaannya digulingkan oleh rampasan kuasa dan keputusan mahkamah.

Seperti adiknya, Thaksin juga disingkirkan oleh tentera menerusi rampasan kuasa pada 2006.

Pada Ogos lepas berlaku lagi kekacauan politik di Thailand apabila Mahkamah Perlembagaan membubarkan parti pembangkang utama, Parti Move Forward dan memecat Perdana Menteri, Srettha Thavisin seminggu selepas itu.

Penyingkiran Srettha membuka jalan kepada Paetongtarn untuk mengambil alih jawatan tertinggi namun beliau menghadapi tugas berat termasuk memulihkan ekonomi Thailand yang masih bergelut akibat pandemik COVID-19 selain musim banjir yang mengancam banyak wilayah di negara itu. -TVS.

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan