KUCHING 4 September: Masyarakat perlu lebih peka dengan keadaan sekeliling mereka supaya kes pengabaian dan penganiayaan kanak-kanak daripada berulang serta dapat dikurangkan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, MA63 dan Perhubungan Negeri-Persekutuan), Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata, masyarakat mesti tahu dan peka seterusnya melaporkan perkara terbabit kepada pihak berkuasa.
Menurutnya, ia bagi membolehkan tindakan segera dilakukan untuk menyelamat seterusnya melindungi hak kanak-kanak terbabit.
“Laporlah kepada pihak polis, jangan hanya ambik video dan gambar kemudian muat naik dalam media sosial, memang ia akan sensasi tapi jangan lakukan itu.
“Yang penting laporkan kepada pihak polis atau hubungi nombor 15999 itu kerana kanak-kanak ini selalunya tidak sedar mereka menjadi mangsa penderaan atau pengabaian oleh ibu bapa atau penjaga mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada program Advokasi Kanak-Kanak: Kasih Kanak-Kanak Peringkat Bahagian Kuching di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Semerah Padi di sini, pada Rabu.
Program tersebut dilaksanakan bagi memberikan pemahaman kepentingan menangani isu penderaan dan pengabaian kanak-kanak selain turut memberi pendedahan kepada kanak-kanak berkenaan hak-hak mereka.
Ia juga bertindak untuk memperkasakan peranan masyarakat dalam membantu mencegah berlakunya kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak.
Pada masa sama ia turut menyediakan peluang kepada Pasukan Kebajikan Kanak-Kanak (PKKK) untuk lebih mengenali kanak-kanak di kawasan masing-masing seterusnya dapat memainkan peranan serta tanggungjawab seperti yang telah ditetapkan. -TVS