KUCHING, 4 Sept: Anak-anak Sarawak yang melanjutkan pengajian atau bekerja di luar negara diseru untuk kembali bersama ilmu dan kemahiran bagi menerajui pembangunan Bumi Kenyalang.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata Sarawak memerlukan lebih ramai tenaga kerja mahir bagi memastikan wilayah ini maju.
“Saya sentiasa menggalakkan anak muda untuk mendapatkan pendedahan dengan bekerja di negara-negara maju.
“Kita mahu rakyat kita bukan sahaja menjadi tenaga kerja dan bakat, tetapi juga memiliki nilai terpuji apabila bersama rakan-rakan dari negara maju. Selepas itu, kita boleh panggil untuk pulang ke Sarawak,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Terdahulu, Dr Sim menghadiri European Society of Cardiology Congress 2024 di London bagi mempengerusikan kongres itu bersama Dr Zainab Dakhil dari Hospital Ibn Al-Bitar, Baghdad, Iraq berkenaan “Pandangan tentang kesihatan kardiovaskular: Trend, kesejahteraan dan penilaian ekonomi”.
Tambahnya, keperluan tenaga kerja mahir itu juga adalah bagi memastikan kemudahan dan infrastruktur asas wilayah ini dapat dibangunkan.
Beliau percaya dengan pengiktirafan yang diberikan oleh Bank Dunia baru-baru ini, Sarawak mampu menjadi kuasa ekonomi di negara ini. – TVS