KUCHING, 2 Sept: Penerbangan baharu dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) atau lebih dikenali sebagai Lapangan Terbang Subang ke Sarawak dilihat mampu merancakkan dan memajukan sektor pelancongan di Sarawak.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, beliau menyambut baik operasi penyambungan semula penerbangan dari Subang ke Sarawak dan Sabah kerana dapat memajukan sektor pelancongan.
“Apapun yang dapat membawa kepada kemajuan Sarawak sudah tentu saya akan rasa sangat baik sebagai menteri yang menjaga pelancongan.
“Saya juga tidak sabar untuk melihat operasi penerbangan tersebut kerana ia akan menjadi sesuatu yang baik.
“Apabila sektor penerbangan meningkat, penerbangan baharu akan datang, pasti akan ada lebih ramai orang datang . Apabila lebih ramai orang datang, ia pasti akan menyokong industri pelancongan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Festival Band dan Okestra Antarabangsa Sarawak (SIBOFest) 2024 di Bangunan Baitulmakmur, Petra Jaya, disini hari ini.
Sehubungan itu menurutnya, bagi memastikan jadual penerbangan berjalan lancar, syarikat penerbangan akan melakukan pemantauan dalam semua aspek merangkumi kapasiti, beban, muatan dan jadual.
“Apabila mereka memperkenalkan sebuah sektor, sebuah destinasi tertentu, mereka akan sentiasa membuat pemantauan dan pemeriksaan untuk tiga bulan pertama dan tiga bulan seterusnya.
“Jika ia tidak benar-benar baik, kapasiti, beban dan muatan akan dikurangkan atau mereka mungkin meningkatkannya jika penerbangan kelihatan baik.
“Contohnya, penerbangan dari Kuching ke Jakarta sebelum ini kekerapan hanya tiga kali seminggu, namun sekarang ia beroperasi setiap hari,” ujarnya.
Sebelum ini, AirAsia melancarkan semula penerbangan ke Sarawak dan Sabah dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) selepas 24 tahun pelancaran perkhidmatan pertamanya.
AirAsia menerusi laporan berita itu melaporkan penyambungan semula perkhidmatan Lapangan Terbang Subang akan memperkukuh jaringan penerbangan domestik di Malaysia.
Dengan pembukaan operasi di Subang, syarikat penerbangan itu menyasarkan untuk meningkatkan jumlah penumpang domestik.
Pengembangan itu menjadikan syarikat penerbangan dengan rangkaian domestik paling luas dengan 40 laluan di seluruh negara dengan 1,860 penerbangan domestik mingguan menjelang akhir Disember 2024.-TVS