KUCHING, 2 Sept: Seramai 14 pelatih kohort pertama menamatkan latihan menerusi Program Penguasaan Semikonduktor dengan pendedahan kepada Reka Bentuk Litar Bersepadu Analog (IC) dan Kejuruteraan Pembangunan Penyelesaian Ujian IC yang bermula pada 14 Februari lepas.
Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat (MEITD) Dato Sri Roland Sagah Wee Inn berkata, latihan tersebut anjuran SMD Semiconductor dengan kerjasama Melexis NV dan Pusat Kecemerlangan Teknologi Sarawak (CENTEXS) merupakan bukti kukuh SMD yang komited melahirkan 500 profesional semikonduktor menjelang 2030.
Roland Sagah yang juga Pengerusi SMD Semiconductor menyeru Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) lain untuk mencontohi SMD Semiconductor dalam memupuk pembangunan bakat.
“Usaha SMD Semiconductor menjadi satu penanda aras kukuh untuk masa depan industri semikonduktor di Sarawak dan saya yakin inisiatif tersebut terus membuahkan hasil pada tahun-tahun akan datang.
“Untuk pertumbuhan mampan, adalah penting bagi kedua-dua industri iaitu Reka Bentuk Litar Bersepadu Analog (IC) dan Kejuruteraan Pembangunan Penyelesaian Ujian IC manakala MEITD melalui GLC mereka bentuk serta melaksanakan program pembangunan bakat yang memenuhi keperluan industri di Sarawak,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.
Beliau turut menekankan kepentingan mendalami ilmu Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) bagi memastikan graduan masa kini mempunyai kemahiran tinggi terutama berkaitan teknologi tinggi.
“Saya berharap anak Sarawak yang berkemahiran tinggi terus berkhidmat di wilayah ini bagi menyumbang kepada pembangunan negeri,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SMD Semiconductor Shariman Jamil mendedahkan sebanyak 16 pelatih daripada kohort kedua terpilih dan mengikuti program berkenaan pada esok (3 September).
Beliau berkata program berkenaan dilihat dapat mengisi jurang yang tidak ditekankan di mana-mana institusi pengajian tinggi (IPT) di negara ini terutama dalam pemahaman reka bentuk IC.
“Sehubungan itu, SMD Semiconductor menjalinkan kerjasama dengan Universiti Teknologi Swinburne Kampus Sarawak untuk meningkatkan usaha pembangunan bakat menerusi program ijazah sarjana yang disasarkan menyediakan pendidikan lanjutan dan peluang latihan khusus kepada mereka yang ingin mendalami kepakaran dalam teknologi semikonduktor.
“Jalinan kerjasama ini bukan sahaja mengasah bakat tetapi mengukuhkan hubungan antara industri dengan akademik, memupuk inovasi serta memacu kemajuan dalam sektor semikonduktor,” jelasnya.
Sehubungan itu, Shariman berkata, program seperti itu dapat meningkatkan kemahiran graduan dengan lebih baik bagi memenuhi permintaan industri semikonduktor khususnya di wilayah ini. – TVS