LUBOK ANTU, 1 Sept: Mayat lelaki yang lemas selepas mandi sungai di Lubok Subong di sini pada Jumaat ditemui hari ini selepas tiga hari operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan.
Komander Operasi, Vincent Baling Yabi berkata, mayat lelaki berusia 20 tahun itu dijumpai pada jam 8.30 pagi pada jarak 500 meter ke hilir sungai dari lokasi terakhir mangsa dilihat.
“Bot bomba yang membawa mayat serta bot pasukan SAR tiba di pangkalan seterusnya menyerahkan mayat mangsa kepada pihak oolis untuk tindakan selanjutnya.
“Pihak polis meminta ahli keluarga membuat pengecaman dan mengesahkan jasad yang dijumpai ialah mangsa lemas yang dicari,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong menerima laporan berhubung kes itu pada jam 1.59 tengah hari pada Jumaat.
“Semasa kejadian mangsa bersama-sama dua rakan mandi di sungai tersebut, selesai mandi dan hendak menyeberangi sungai tersebut ke seberang secara tiba-tiba mangsa dibawa arus deras sungai sehingga tenggelam di tengah sungai tersebut.
“Difahamkan juga oleh rakan mangsa bahawa mangsa tidak pandai berenang,” ujarnya.
Selain pihak bomba, turut serta dalam operasi SARcitu ialah pihak polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pasukan Bomba Sukarela Lubok Antu dan penduduk kampung.- TVS