Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) menyediakan laman mikro khas yang memaparkan berita-berita berkaitan ASEAN mulai 1 Sept. Foto Bernama

Bernama lancar laman mikro khas bermula hari ini

ByBernama

KUALA LUMPUR, 1 Sept: Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini melancarkan laman mikro khas yang akan menyediakan kandungan lengkap merangkumi berita, foto, video dan infografik yang berkaitan dengan ASEAN.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Nur-ul Afida Kamaludin berkata, memandangkan Malaysia bakal menjadi tumpuan negara-negara ASEAN termasuk rakan dialog dan ASEAN Campur Tiga, Bernama akan memperkasakan lagi kandungan berkaitan ASEAN melalui semua platform naungannya sebagai persiapan untuk Malaysia menggalas tanggungjawab sebagai Pengerusi ASEAN 2025.

“Pelbagai program khas seperti ruang bicara mengenai ASEAN turut diperkenalkan di saluran Bernama TV dan Bernama Radio, dengan segmen mingguan yang memfokuskan kepada isu-isu berkaitan ASEAN.

“Laman mikro ini akan memudahkan pengunjung portal Bernama, dalam dan luar negara yang ingin mencari berita-berita ASEAN secara eksklusif,” katanya dalam satu temu bual bersempena pelancaran laman mikro ASEAN tersebut.

Bernama juga katanya, akan terus meningkatkan liputan berita mengenai ASEAN melalui pewarta di tiga negara ASEAN iaitu Indonesia, Singapura dan Thailand.

“Peranan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN 2025 adalah peluang keemasan untuk negara mempamerkan kepimpinan dan komitmen negara di pentas serantau.

“Justeru itu, Bernama selaku agensi berita nasional akan menyokong usaha kerajaan dalam mengukuhkan kerjasama dan peningkatan kesalinghubungan serta daya tahan serantau,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Nur-ul Afida melihat melalui kepengerusian ASEAN merupakan platform untuk kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menunjukkan keupayaan negara dalam aspek kepimpinan ekonomi, politik serta peranan Malaysia dalam memajukan pendidikan dan budaya serantau.

“Ini sekali gus peluang bagi Malaysia untuk memperkukuh pengaruh dan kedudukannya dalam kalangan 10 negara anggota blok yang terus mahukan keamanan, kemasyrakatan dan kemakmuran.

“ASEAN terdiri daripada 10 negara anggota iaitu Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam.

“Laos akan menyerahkan baton Kepengerusian ASEAN 2025 kepada Malaysia pada Sidang Kemuncak ASEAN pada Oktober ini,” katanya yang berpengalaman melawat negara anggota ASEAN seperti Indonesia, Thailand dan Filipina.

Dalam pada lain, beliau turut menjelaskan penyertaan Timor Leste sebagai anggota baharu ASEAN, sebagai negara yang lebih maju, Malaysia berperanan sebagai “abang” yang berupaya membimbing Timor Leste terutamanya dalam aspek pendidikan, kebudayaan dan ekonomi.

“Dengan kerjasama dengan Timor Leste, Bernama turut berharap agar dapat memainkan peranan aktif dalam membantu negara itu mencapai matlamat mereka dalam ASEAN melalui pertukaran berita dan maklumat.”

Menurut laporan media, Timor Leste boleh menghadiri siri mesyuarat peringkat ASEAN sebagai pemerhati sehingga keputusan rasmi dibuat secara konsensus untuk menerima negara itu sebagai salah satu anggota ASEAN.

Tambah Nur-ul Afida lagi, Bernama bercadang memperbaharui beberapa memorandum persefahaman (MoU) dengan agensi berita dari negara-negara ASEAN dan beberapa negara lain termasuk China, Jepun dan Korea Selatan.

“Ini merupakan langkah penting dalam memperluaskan jangkauan berita Bernama di peringkat serantau dan global,” katanya. TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan