KUCHING, 31 Ogos: Mempelajari dan menghayati sejarah terdahulu adalah penting untuk mengekalkan kedaulatan, kemakmuran serta keamanan yang dikecapi sejak 67 tahun merdeka.
Menurut Amirul Annuar, 28, kemerdekaan membawa maksud menghargai jasa dan pengorbanan pejuang tanah air.
“Usaha menuntut kemerdekaan merupakan perkara penting dan kita perlu meneruskan usaha pejuang terdahulu untuk memajukan negara dan memahami sejarah yang berlaku supaya tidak berulang lagi,” katanya.
Bagi Nur Ashyika Rahman, 23, sambutan Hari Kebangsaan dapat memupuk semangat patriotisme dalam kalangan masyarakat.
“Tanpa menyambut Hari Kebangsaan seperti ini, kita tidak berpeluang melihat negara maju seperti sekarang dan bebas daripada penjajahan luar.
“Selain itu, negara kita (hari ini) mampu berdiri sendiri dengan pemimpin dan semangat baharu untuk memajukan Malaysia,” ujarnya.
Mohd Ainnur Fitri Nasaruddin, 27, pula menyifatkan erti kemerdekaan bermaksud bebas mencorak dan memajukan negara tanpa campur tangan asing.
“Pentingnya merdeka bagi saya adalah kita bebas melakukan apa sahaja demi negara tercinta dan tidak dibelenggu campur tangan luar.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita hendaklah bersyukur dan berbangga kerana negara ini maju dan makmur hasil perjuangan pemimpin terdahulu,” jelasnya.- TVS