KUCHING, 31 Ogos: Bersempena Hari Kebangsaan 2024 hari ini Pameran MATTA di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) menganjurkan kem perubatan mini percuma bermula hari ini hingga esok, 1 Sept.
Presiden Kelab Lions Perpaduan Kuching dan PPIS, Manjeet Sidhu berkata kem itu merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) MATTA Fair dan telah bekerjasama dengan pelbagai organisasi dan penaja penjagaan kesihatan, termasuk Borneo Medical Centre (BMC), Hospital Umum Sarawak, Kingdom Pharmacy dan lain-lain.
“Sempena Hari Kebangsaan kita, melalui kem ini kami ini memberitahu orang ramai bahawa betapa pentingnya menjaga kesihatan anda.
“Kem mini ini menawarkan pelbagai perkhidmatan kesihatan penting, termasuk derma darah, ikrar organ, pemeriksaan kesihatan dan pertunjukan demo produk kesihatan, semua secara percuma,” katanya kepada pemberita pada kem mini perubatan percuma di BCCK, hari ini.
Manjeet berkongsi terdapat seorang lelaki kelainan upaya (OKU) pekak antara individu yang hadir bagi menderma darah di kem berkenaan.
Beliau yang memuji inisiatif individu itu turut berharap orang ramai mengikuti langkah murni golongan OKU itu.
“Ini adalah kali kedua saya menderma darah, saya berasa baik dan gembira mengenainya kerana satu paket darah boleh selamatkan tiga nyawa. Saya juga turut mendaftar sebagai pengkirar penderma organ selepas kematian,” kata Helena ketika menterjemah bahasa isyarat daripada Awangku Mohd Zakaria.
Antara program lain yang turut ditawarkan secara percuma ialah pemeriksaan percuma pada tekanan badan, ujian tusukan jari glukosa, bacaan Indeks Jisim Tubuh (BMI), perundingan pakar pemakanan dan banyak lagi.
Seterusnya, esok (1 Sept) Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kanser wanita dengan memperkenalkan ujian DNA HPV, atau ringkasan ujian HPV, menggunakan teknik pensampelan sendiri dan mampu mengenal pasti 14 jenis human papillomavirus (HPV), terutamanya jenis HPV 16 dan 18 yang dianggap sebagai jenis berisiko tinggi.
Kem mini dua hari itu berlangsung bermula jam 10 pagi hingga 5 petang, manakala kempen derma darah akan bermula pada jam 10 pagi hingga 2 petang. – TVS