Search
Close this search box.
Search
Close this search box.
Duta Besar Malaysia ke Indonesia Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berucap pada sambutan Hari Kebangsaan ke-67 bertemakan "Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka" di kompleks Kedutaan Malaysia hari ini. Foto Bernama

Beri sokongan dalam melaksanakan tanggungjawab, menaikkan imej negara

ByBernama

JAKARTA, 31 Ogos: Duta Besar Datuk Syed Md Hasrin Tengku Hussin menyeru seluruh staf di kedutaan, ekspatriat Malaysia dan pelajar agar terus memberi sokongan secara individu mahupun atas nama organisasi dalam melaksanakan tanggungjawab dan menaikkan imej negara dalam hubungan dua hala Malaysia dan Indonesia mahupun di peringkat ASEAN.

Beliau berkata pihak kedutaan terus komited memperkukuh hubungan dua hala demi manfaat bersama dan percaya kerjasama serta persahabatan antara kedua-dua negara akan berkembang di bawah pemerintahan Presiden baharu Prabowo Subianto, yang akan dilantik pada 20 Oktober.

“Perdagangan dua hala pada 2023 berjaya mencapai AS$24 billion (AS$1=RM4.31) di mana Indonesia merupakan rakan dagang kita yang ketujuh terbesar di peringkat dunia dan ketiga terbesar di peringkat ASEAN,” katanya di kompleks kedutaan di sini pada Sabtu.

Berucap di sambutan Hari Kebangsaan Malaysia ke-67, Syed Md Hasrin berkata Malaysia juga kekal sebagai pelabur asing kelima terbesar tahun lepas dengan nilai AS$4.1 bilion, berbanding AS$3.3 bilion pada 2022.

Di sektor pelancongan, seramai 3.1 juta rakyat Indonesia berkunjung ke Malaysia, manakala 1.9 juta rakyat Malaysia melancong ke Indonesia.

Di sektor pendidikan, sekitar 10,000 pelajar Indonesia sedang belajar di Malaysia dan kira-kira 1,200 lebih pelajar Malaysia sedang belajar di Indonesia.

Menyentuh tema Hari Kebangsaan, beliau menjelaskan ‘Malaysia Madani: Jiwa Merdeka’ dipilih untuk mengingatkan pentingnya negara kekal bebas dan merdeka bagi menentukan arah tujunya yang aman, makmur, harmoni dan sejahtera, baik sesama rakyat mahupun dengan alam sekitar.

Syed Md Hasrin berkata ini juga selaras dengan peranan Pengerusi ASEAN pada 2025 di mana Malaysia akan meneruskan aspirasi pembentukan Komuniti ASEAN dan pelancaran dokumen penting iaitu ‘ASEAN Community Vision 2045’ sebagai panduan hala tuju pembentukan komuniti serantau 20 tahun ke depan.

Bercakap kepada media, Syed Md Hasrin berkata beliau menerima respons positif mengenai sokongan daripada pemerintah mahupun bukan pemerintah di Indonesia terhadap peranan Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 di sesi-sesi pertemuan.

“Ini sangat penting kerana Malaysia dan Indonesia merupakan antara negara tonggak dalam konteks kerjasama ASEAN,” katanya.

Laos akan menyerahkan kepimpinan ASEAN untuk 2025 pada Sidang Kemuncak ASEAN dari 8 hingga 11 Oktober.

ASEAN yang ditubuhkan pada 8 Ogos 1967, kini dianggotai 10 negara – Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Thailand, Singapura dan Vietnam. Timor-Leste masih menunggu untuk menjadi anggota penuh kumpulan itu. – TVS

TVS provides up-to-date news, captivating dramas, and diverse programmes on channel 122 MYTV, Unifi TV and Astro. Stream TVS live now on the MYTV Mana-Mana, Unifi TV and ASTRO GO apps.

Follow us on social media:
Facebook: @tvsarawak , @tvs122

Instagram: @tvsarawak, @TVS_Entertainment

Telegram: @tvsarawak

TikTok: @tvsarawak, @tvs_entertainment

X: @tvsarawak

YouTube: @tvsarawak, @TVSEntertainment

WhatsApp: TVS

 

Berita Berkaitan