KUCHING, 30 Ogos: Sarawak terus melangkah maju dan berdaya saing dalam pelbagai bidang bagi mengukuhkan dan seterusnya mentransformasikan ekonomi Sarawak ketika dunia beralih kepada tenaga bersih.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata ini dicapai sepanjang 61 tahun Sarawak yang turut membentuk Malaysia yang menyambut Hari Kebangsaan 2024 pada 31 Ogos ini.
“Pada tahun ini, tema “Malaysia Madani: Jiwa Merdeka” telah diangkat sebagai tema rasmi bagi sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia pada 2024 sebagai tema yang mengajak rakyat negara ini untuk menghayati erti sebenar kemerdekaan dan kebebasan sebagai rakyat sebuah negara yang berdaulat dan merdeka,” katanya.
Menerusi teks perutusan sempena Hari Kebangsaan 2024 beliau berkata lagi, pada ketika ini, tumpuan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menjurus ke arah dasar penjanaan ekonomi mapan berteraskan sumber yang lestari dan berteraskan teknologi.
“Seawal 2017, Sarawak telah mengorak langkah untuk membangunkan ekonomi digital yang disusuli dengan inisiatif ke arah ekonomi hidrogen, pembangunan sumber lestari dan tenaga bersih.
“Kini (Sarawak) mula meneroka inisiatif untuk membangunkan industri cip sebatian dan aeroangkasa di samping usaha ke arah penghiliran sumber minyak dan gas,” katanya.